CELIK AL- QURAN CAHAYA KEHIDUPAN

 

Bismillahir rahmanir rahim (Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang)

Alhamdulillahi rabbil 'alamin (Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam)

Alhamdulillah Washolatu Wassalamu ala Rasulillah (Segala puji bagi Allah. Semoga rahmat dan kesejahteraan telimpah kepada Rasulullah)

Alhamdulillah, washolatu wassalamu ‘ala Rasulillah, wa ‘ala alihi wa shohbihi wa man waalah, (Segala puji bagi Allah. Semoga rahmat dan kesejahteraan terlimpah kepada Rasulullah, dan kepada seluruh keluarga serta para sahabatnya)

Rabbish rahli sadri. Wa yassirli amri. Wah lul uqdatan min lisaani. Yaf kahu kauli (Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku. Dan mudahkanlah bagiku urusanku. Dan lepaskanlah kekakuan lidahku. (Supaya) mereka memahami perkataanku)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh (Semoga Allah melimpahkan keselamatan, rahmat, dan keberkahan-Nya) 


YB Menteri, Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im Bin Haji Mokhtar, YB Menteri, tidak  hadir program Majlis Khatam Perdana - Jom Celik Al-Quran, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), kerana program mendesak di tempat lain dan YB Menteri diwakili oleh setiausaha Politik beliau, Dr. Muhamad Razak bin Idris sebagai perasmi program.


"Saya Mewakili YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im Bin Haji Mokhtar, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kerana ada program lain petang ini di Masjid Putrajaya, berkaitan Program Sama' Hadis Sahih Al-Bukhari Antarabangsa 2024 sehingga 21 November 2024.

"Beliau menyampaikan salam: Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh," ucap beliau

Berikut saya bacakan tek ucapan YB Menteri sempena program Majlis Khatam Perdana- Jom Celik Al-Quran, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), pada hari ini.

Saya ingin memulakan ucapan saya dalam majlis ini dengan mengajak seluruh hadirin bersama-sama menekuni firman Allah SWT yang terakam dalam Surah An-Nisa’ ayat 174:


“Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti daripada Tuhanmu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (al-Quran) sebagai nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak)”

Alhamdulillah, kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, dapat kita bersama-sama berada dalam program Majlis Khatam Perdana- Jom Celik Al-Quran, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada hari ini.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atas penganjuran program ini yang bertujuan bagi  menyemarakkan budaya mencintai al-Quran di kalangan Masyarakat di Wilayah Persekutuan ini.

Saya difahamkan program celik al-Quran ini telah dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik iaitu Yayasan Institut Pengajian al-Quran (IPaQ).

 

Hadirin hadirat sekalian,

Kitab al-Quran terkandung di dalamnya, 30 juzuk dengan kapasiti 114 (seratus empat belas) surah, 60 (enam puluh) hizib dengan hitungan 6,236 ayat (enam ribu dua ratus tiga puluh enam ayat).

Ia bermula dengan Surah al-Fatihah dan berakhir dengan Surah an-Nas.

Kitab al-Quran memancarkan hidayah dan memberikan pedoman untuk menjulang karamah insaniah.

Al-Quran menjelaskan visi kehidupan, membangun semangat ihsan serta memberi rangsangan untuk meneroka kecemerlangan.

Alhamdulillah, Kerajaan pada hari ini begitu komited dan prihatin untuk menjadikan institusi Islam sebagai institusi terbaik dalam melaksanakan fungsi serta peranannya demi kepentingan rakyat.

Pembentangan Belanjawan MADANI 2025 oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dilihat memberi penekanan dalam usaha memartabatkan syiar Islam di Malaysia.

Sebanyak RM2 billion telah diperuntukkan bagi hal ehwal Islam dengan penekanan diberikan dalam menambahbaik infrastrukur dan memperkasa institusi Pendidikan Islam.

Ini jelas membuktikan komitmen Kerajaan dalam melahirkan masyarakat yang mempunyai asas ilmu yang kukuh.

MAIWP sebagai salah satu agensi di bawah Hal Ehwal Agama, turut diberikan tanggungjawab dalam memastikan masyarakat Islam terutamanya di kalangan asnaf diberikan peluang memperoleh ilmu alquran sebaiknya, antaranya; menerusi program Celik al-Quran sebegini.

Saya telah dimaklumkan pengurusan tertinggi MAIWP bahawa program ini telahpun dilaksanakan sejak tahun 2020 yang memfokuskan kepada pelaksanaan Kelas Tahsin Al-Quran (KTQ) menuju khatam dengan matlamat agar masyarkat Islam di Wilayah Persekutuan mampu membaca al-Quran dengan baik.

Untuk tujuan itu, MAIWP telah memperuntukkan dana zakat berjumlah RM350,000.00 pada tahun ini bagi membiayai Program Celik Al-Quran ini.

Seramai 302 peserta telahpun mengikuti program ini sejak ianya mula dilancarkan dan pada tahun ini saya difahamkan seramai 250 peserta yang terlibat dengan melibatkan 8 lokasi Projek Perumahan Rakyat di sekitar Wilayah Persekutuan.

 

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Usaha MAIWP untuk menyemarakkan budaya cinta al-Quran ini terus dipergiatkan menerusi pelbagai program dan inisiatif.

Paling terbaharu, saya difahamkan insyaallah bermula tahun 2025, MAIWP telah memperuntukkan dana zakat berjumlah RM324,000.00 bagi pembekalan 5,000 unit naskah al-Quran beserta terjemahan yang akan diagihkan kepada pelajar baharu institusi pendidikan milik MAIWP.

Menerusi inisiatif, '1 Pelajar 1 al-Quran' ini, setiap pelajar yang mendaftar masuk ke institusi pendidikan ini akan menerima satu (1) naskah al-Quran setiap seorang dengan harapan, ianya akan dapat menyuntik kesedaran dan rasa sayang generasi muda dengan al-Quran.

Saya meminta MAIWP untuk terus memperhebat usaha-usaha untuk memasyarakatkan al-Quran kepada golongan asnaf dan anak-anak asnaf khususnya.

Semoga apabila para asnaf diberikan ilmu-ilmu al-Quran, semoga ia akan memberikan kekuatan dalaman kepada mereka untuk berhadapan dengan segala ujian kehidupan.

Saya percaya ia adalah perjuangan kita semua.

Ia memerlukan kesabaran serta semangat yang tinggi untuk membawa agenda al-Quran ini kepada masyarakat.

 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak MAIWP bersama Yayasan Institut Pengajian al-Quran (IPaQ) atas kolaborasi yang amat baik ini.

Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua peserta yang telah menghadiri Majlis Khatam al-Quran Perdana yang dianjurkan ini.

Ia pasti akan membawa kebaikan kepada kita semua.

Sekadar ini sahaja  ucapan saya, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Khatam Al- Quran Perdana - Jom Celik Al-Quran MAIWP Tahun 2024.

Sekian.

Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.


TOP