KUALA LUMPUR, 16 MEI 2026 — Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menjalinkan kerjasama strategik bersama Kementerian Ekonomi menerusi Program Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-INSAN) dalam usaha memperkasa ekonomi golongan asnaf dan usahawan kecil di Wilayah Persekutuan.
Majlis perasmian yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan itu telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir, Menteri Ekonomi.
Melalui kerjasama ini, Kementerian Ekonomi menyediakan mesin vending makanan serta subsidi sewa penuh selama 24 bulan, manakala MAIWP menyediakan bantuan modal permulaan kepada peserta usahawan asnaf yang layak, tertakluk kepada syarat dan SOP yang ditetapkan, bagi membantu mereka menjana pendapatan secara mampan.
Menurut Dr. Zulkifli Hasan, sinergi antara MAIWP dan Kementerian Ekonomi membuktikan komitmen kerajaan dalam membangunkan rakyat secara menyeluruh menerusi pendekatan Whole-of-Government.
Beliau berkata, MAIWP bukan sekadar menyalurkan bantuan zakat secara rutin, sebaliknya mahu melahirkan lebih ramai usahawan asnaf yang mampu berdikari dan keluar daripada kepompong kemiskinan.
Menurut Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir, sebahagian peserta program turut berjaya mencatat jualan antara RM4,000 hingga RM10,000 sebulan melalui penempatan mesin vending di lokasi strategik seperti stesen MRT, UTC dan premis tumpuan awam. Pelaksanaan IPR-INSAN telah menunjukkan hasil yang positif dan boleh diukur. Sehingga 5 Mei 2026, sebanyak 1,125 unit mesin layan diri telah dipasang di seluruh negara, dengan 712 peserta aktif mencatatkan hasil jualan kumulatif melebihi RM2,000 sejak mula beroperasi. Setakat Mac 2026, program ini turut merekodkan jualan keseluruhan sebanyak RM20.46 juta. Ini membuktikan IPR-INSAN bukan sekadar program bantuan, tetapi satu peluang untuk rakyat berniaga, membina pendapatan sendiri dan keluar daripada kemiskinan dengan lebih berdikari.




