PELAJAR CEMERLANG DIRAI BERSAMA IBU BAPA

Sebanyak RM70 juta telah diperuntukkan kepada institusi pendidikan, pelajar tajaan, bantuan pelajaran IPT, bantuan biasiswa sekolah dan huffaz MAIWP, berbanding perbelanjaan keseluruhannya sehingga kini, September 2024, yang telah diagihkan dana zakat sebanyak  RM735.20 juta.


Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Insentif Galakan Hafazan Pelajar Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi tahun 2023 dirai bersama ibu bapa dalam majlis gilang-gemilang di sini.

Majlis ini sebagai pengiktirafan pencapaian cemerlang pelajar-pelajar di Wilayah Persekutuan, dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan hafazan.

Majlis penganugerahan telah disempurnakan perasmiannya oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Saya mengucapkan  terima kasih kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atas penganjuran program ini yang bertujuan bagi memberi pengiktirafan kepada pelajar-pelajar cemerlang dan golongan huffaz khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Kerajaan Madani di bawah pimpinan YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri amat komited dan bersungguh-sungguh mahu memartabat pembangunan syiar Islam di Malaysia termasuklah pendidikan Islam.

“Sebagai contoh, Belanjawan Tahun 2024, secara keseluruhannya, untuk tujuan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam, sebanyak RM 1.9 bilion telah diperuntukkan pada tahun 2024.

“Peruntukan ini adalah meningkat berbanding RM1.5 bilion pada tahun 2023.  

Semoga Belanjawan Madani tahun 2025 yang akan dibentangkan tidak lama lagi terus memberikan perhatian kepada aspek pentadbiran Islam dan juga pendidikan Islam,” ucap beliau semasa merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Insentif Galakan Hafazan Pelajar Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dewan Utama, Masjid Wilayah Persekutuan.

Menurut Dr. Mohd Na’im lagi, MAIWP telah membantu seramai 80,059 pelajar melibatkan peruntukan sebanyak RM69,875,008.34 sehingga kini, iaitu; meliputi bantuan pendidikan dari sekolah rendah sehingga ke institut pengajian tinggi:

“i)      Bantuan Am Persekolahan sebanyak RM22,239,850.00 kepada 31,926 pelajar.

“ii)      Bantuan pelajar Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP sebanyak RM16,852,700.00.

“iii)     Bantuan Am pelajaran IPT dan Bantuan Persediaan IPT sebanyak RM14,899,750.00 kepada 5,312 pelajar.

“iv)     Bantuan Pelajar Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur sebanyak RM10,711,572.00.

“v)     Bantuan Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang sebanyak RM3,137,440.00 kepada 698 pelajar.

“vi)     Bantuan insentif galakan hafaz al-quran sebanyak RM1,937,750.00 kepada 529 peserta.

“vii)    Bantuan biasiswa sekolah sebanyak RM69,944.73.

“viii)   Bantuan penyelesaian pendidikan sebanyak RM22,201.61 dan,

“ix)     Bantuan pakaian dan peralatan sekolah sebanyak RM3,800.00,” ujar beliau.

TOP