MUSTAFA BIN MOHD, JASAMU DIKENANG

 

Sempena perhimpunan Bulanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) September 2024, Datuk Mohd Nizam Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (PKPE) MAIWP, memaklumkan bahawa dua orang pegawai MAIWP akan bersara wajib kerana berusia 60 tahun; Ustaz Mustafa bin Mohd dan Ustazah Siti Jurmiah binti Sarijo.

Mustafa bin Mohd

Anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman, 60 tahun yang lalu, September 1964, berkahwin dan dikurniakan 8 orang anak, kini bermastautin di Kuala Lumpur.

Dalam perkhidmatan kerajaan, beliau bertugas selama 31 tahun di dua agensi kerajaan; Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Menurut Mustafa: ”Mencari kesenangan hidup adalah sesuatu yang amat sukar kerana maksud kehidupan adalah menjalani setiap ujian yang berikan dengan penuh sabar dan reda.”

Di JAWI, beliau bukanlah asing, kerana pernah bertugas di beberapa Bahagian JAWI, di antaranya; di Bahagian Baitulmal, Bahagian Pelajaran dan Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga sejak 1993 sebelum berpindah ke MAIWP pada 2008.

Di MAIWP beliau ditugaskan di beberapa Bahagian dan Unit.

Antaranya, bertugas di Bahagian Kewangan, dan perkhidmatan terakhir beliau di Bahagian Agihan Zakat.

Tugas-tugas beliau di lapangan senentiasa bersama asnaf; melihat, mendengar luahan, menyantuni, menyiasat, dan mengemukakan laporan untuk pernilaian tentang bantuan-bantuan yang wajar disalurkan kepada mereka yang berkenaan.

Beliau juga sentiasa bersama pegawai-pegawai jejak asnaf MAIWP yang menyantuni masyarakat tidak mengira masa; sama ada sebelah pagi, petang atau malam dan adakalanya pada hari Sabtu, Ahad atau hari kelepas am.

Hatta, program-program yang melibatkan Menteri Hal Ehwal Agama dalam siri-siri jejak asnaf, kelibat Mustafa pastilah akan ada-berdiri teguh bersama YB Menteri.

Dengan kesibukan tugasan pejabat, Mustafa juga terus bersama menganggotai kelab-kelab di MAIWP sebagai menyumbang tenaga dan buah fikiran kepada kebajikan ahli-ahli kelab di samping bersama masyarakat tempat beliau tinggal, Taman Melati, Setapak.

Nasihat beliau kepada pegawai MAIWP:

"Berbuat baik setiap masa kerana kita tidak pernah tahu kebaikan yang mana akan memimpin kita ke syurga.

"Belajarlah mendekati dengan ramai orang agar dapat mengalami, merasai kesusahan mereka.”

Walaupun, Mustafa telah bersara dari perkhidmatan kerajaan; namun, beliau masih dan sedia berkongsi maklumat dengan masyarakat tentang MAIWP, menjadi Amil Fitrah dan juga apa-apa khidmat yang perlu oleh Pengurusan MAIWP selaras dengan pengalaman perkhidmatan selama 31 tahun.

Sepanjang perkhidmatan, beliau dianugerahkan pingat oleh Yang di-Pertuan Agong; Pingat Pangkuan Negara (PPN) & Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

Menurut beliau lagi tentang perkembangan MAIWP, dari tidak dikenali kini terserlah di peringkat negara dan antarabangsa.

Beliau boleh dihubungi melalui talian 019-6969092 atau e-mel: musmad51@gmail.com

Selamat maju jaya, MAIWP senentiasa mengingatimu, jasamu dikenang.

 

TOP