KUNJUNGAN HORMAT DEPARTMENT OF SOCIAL WELFARE AND DEVELOPMENT FILIPINA


Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jabatan Kebajikan dan Pembangunan Sosial, iaitu, Department of Social Welfare and Development (DSWD) Filipina.

Dalam lawatan yang berlangsung pada 12 Disember 2024, MAIWP berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan institusi pendidikan Islam serta pembangunan belia, yang diharapkan dapat memberi inspirasi kepada usaha serupa di Filipina.

Antara yang hadir dalam lawatan ini termasuk:

i.           Yang Berhormat Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

ii.         Dr. Sabuddin Abdurahim, Setiausaha Suruhanjaya Kebangsaan Muslim Filipina

iii.       Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

iv.       Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP

Selain itu, turut hadir adalah wakil-wakil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan delegasi dari DSWD Filipina.

Lawatan ini bukan sahaja menjadi platform untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam pembangunan sosial, tetapi juga menggambarkan semangat kerjasama serantau yang semakin kukuh dalam memperjuangkan kebajikan masyarakat.

Fokus utama dalam perbincangan adalah mengenai usaha membangunkan program-program kebajikan yang memberi manfaat kepada anak-anak yatim dan kanak-kanak miskin di kawasan-kawasan terjejas seperti bandar Marawi di Filipina.

Selain itu, kedua-dua pihak berharap agar perkongsian ini dapat memperkukuhkan hubungan bilateral dalam memajukan pembangunan sosial serta meningkatkan kesejahteraan golongan yang memerlukan, khususnya di wilayah yang terjejas oleh konflik dan kemiskinan.

Kerjasama ini diharapkan dapat memberi impak positif bagi memperbaiki kualiti hidup golongan terpinggir dan membuka lebih banyak peluang bagi anak-anak yang kurang bernasib baik di Filipina.

TOP