KUALA LUMPUR, 13 Oktober 2025 – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) kini meneroka peluang kerjasama strategik bagi membantu peminjam PTPK yang layak menerima bantuan zakat atau dana pendidikan di Wilayah Persekutuan.
Langkah ini bertujuan memperkukuh jaringan kebajikan dan pembangunan insan, khususnya bagi golongan B40 serta asnaf yang berhasrat meningkatkan kemahiran diri untuk menjamin masa depan yang lebih baik.
Hari ini, MAIWP telah menerima kunjungan hormat daripada PTPK, sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia, yang diketuai oleh Yang Berusaha Puan Mek Eshah binti Awang, Pengurus Kanan PTPK. Delegasi tersebut disambut mesra oleh Yang Berbahagia Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, bersama beberapa pegawai kanan MAIWP di Menara MAIWP, Kuala Lumpur.
Pertemuan ini memberi ruang perbincangan mengenai bentuk kerjasama yang boleh dijalinkan antara kedua-dua pihak, antaranya dalam aspek penyaluran bantuan zakat pendidikan kepada peminjam yang memenuhi syarat kelayakan asnaf, selain sokongan berbentuk latihan kemahiran dan penempatan pekerjaan.
YBhg. Datuk Mohd Nizam menyambut baik inisiatif ini dan menzahirkan komitmen MAIWP untuk terus memperluas sinergi dengan pelbagai agensi kerajaan dalam usaha memperkasakan asnaf melalui pendidikan dan pembangunan kemahiran.
“Kerjasama seperti ini bukan sahaja dapat membantu meringankan beban peminjam yang memerlukan, malah mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam kalangan asnaf, seiring dengan aspirasi Malaysia Madani.
Pertemuan ini diakhiri dengan pertukaran cenderamata sebagai tanda penghargaan dan permulaan kepada hubungan strategik antara MAIWP dan PTPK dalam memacu agenda pembangunan ummah melalui pendidikan dan kemahiran.






