Unit komunikasi korporat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, menganjurkan Malam Apresiasi Media untuk rakan-rakan media di wilayah Persekutuan termasuk rakan-rakan media dari Labuan, di sini.
Berikut adalah teks ucapan Tuan Haji Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, ketika meraikan rakan -rakan media:
BISMILLAHI RAHMANI RAHIM
Terima Kasih Saudara Pengacara Majlis.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Perpaduan, Salam Malaysia Madani,
Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi dengan kurnia dan rahmatNya dapat kita semua berkumpul pada malam ini.
Terlebih dahulu saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada barisan Pengurusan MAIWP dan Unit Komunikasi Korporat di atas penganjuran Malam Apresiasi Media pada hari ini.
Saya difahamkan program hari ini adalah merupakan program secara tahunan yang dilaksanakan bertujuan untuk meraikan rakan-rakan media selain mengukuhkan silaturrahmi di antara MAIWP dan media.
Alhamdulillah, saya difahamkan kehadiran rakan-rakan media dari Kumpulan
Media Prima, RTM, Tv AlHijrah, Astro, IKIM, Bernama, Harian Metro, Berita
Harian, Sinar Harian, Malaysia Gazette, Kumpulan Media Mulia dan menariknya
pada kali ini, ianya turut dihadiri oleh pengamal media dari Labuan, antaranya;
Jabatan Penyiaran Labuan, Jabatan Penerangan Labuan, Borneo Daily, Wilayahku,
Asiatimes, See Hua Daily News.
Tema majlis ini pakaian orang lama.
Di Pulau Pinang pakai baju dalam putih, kot, tali pinggang hijau dan berkain pelikat.
Macam penyanyi boria.
Pakaian biasa sebab saya orang lama.
Malam apresiasi bersama rakan-rakan media.
Sidang Hadirin yang saya hormati sekalian
Sinergi di antara MAIWP dengan Media amat-amat diperlukan dalam usaha MAIWP meningkatkan keterlihatan bukan sahaja kepada stakeholder, malahan kepada seluruh masyarakat Malaysia mahupun peringkat antarabangsa.
Kita mahu setiap aktiviti yang kita laksanakan, setiap program yang kita rancang diwar-warkan kepada masyarakat.
Masa sekarang orang ambil kamera dimasukkan gambar ke TikTok untuk ditularkan mudah ditonton.
Ini kerana sebagai sebuah organisasi yang meletakkan kemaslahatan ummah
sebagai paksi utamanya, dengan amanah dana zakat yang MAIWP galas, sudah
pastinya ‘every eyes on us’ .
Semua orang tertanya kepada MAIWP, MAIWP terlalu tawaduk, programnya tidak dihebahkan/heboh.
Namun wajar dihebahkan supaya orang luar memahami kutipan zakat diagihkan.
Supaya orang di luar sana tahu dan amanah diuruskan.
Oleh itu, amat penting bagi MAIWP untuk terus tanpa leka dengan sokongan dan bantuan rakan-rakan media untuk terus menyalurkan informasi yang tepat dan tuntas kepada masyarakat agar dapat meningkatkan keyakinan masyarakat pada MAIWP.
Harapan saya mewakili barisan Pengurusan MAIWP agar rakan-rakan media akan terus memberikan sokongan kepada MAIWP agar bukan sahaja dalam menyalurkan maklumat yang tepat, tetapi juga selaku mata dan telinga bagi pihak MAIWP.
Berbisiklah dahulu kepada kami sekiranya terdengar isu-isu tular yang
melibatkan MAIWP, agar kami dapat beri informasi sebenar dan salurkanlah
informasi tersebut kembali kepada masyarakat.
Saya yakin dan percaya, dengan sinergi sebegini akan dapat membantu membina minda masyarakat yang hanya mendambakan berita yang sahih.
Sidang hadirin yang saya hormati sekalian,
Pelbagai saluran informasi yang telah MAIWP sediakan, antaranya melalui
laman web dan media sosial selain program-program bertemu masyarakat.
MAIWP juga telah memudahkan saluran maklumat asnaf menerusi aplikasi Mobile
Jejak Asnaf dan talian Hotline.
Harapan MAIWP agar rakan-rakan media dapat terus mewar-warkan saluran yang MAIWP sediakan ini agar maklumat masyarakat yang memerlukan dapat MAIWP santuni dengan segera.
Saya kira itu sahaja ucapan saya pada hari ini.
Sebelum saya akhiri, saya sekali lagi mengucapkan sekalung penghargaan
kepada semua rakan media yang dapat meluangkan hadir pada hari ini.
Tahniah kepada UKK menjadi sekretariat kerana menjayakan program ini.
Semoga ukhuwah yang terjalin akan terus kekal berpanjangan demi kemaslahatan ummah, insyaallah.
Sekian, Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.





