MAIWP TERIMA KUNJUNGAN HORMAT KEMENTERIAN DALAM NEGERI (KDN)

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu sesi perbincangan yang memberi tumpuan kepada pelbagai ruang kerjasama strategik demi kemaslahatan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan.

Pertemuan ini membuka ruang dialog yang konstruktif dalam memperkukuh pelaksanaan dasar dan inisiatif berkaitan hal ehwal Islam secara lebih tersusun dan menyeluruh. Antara intipati utama yang dibincangkan termasuklah cadangan memperkukuh kerjasama antara MAIWP dan KDN dalam pelaksanaan dasar berkaitan hal ehwal Islam, agar segala usaha dapat dijalankan dengan lebih efisien dan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Selain itu, turut dibincangkan adalah penambahbaikan aspek kawal selia percetakan teks al-Quran di bawah akta yang berkuat kuasa, bagi memastikan ketulenan dan kesahihan mushaf al-Quran sentiasa terpelihara. Dalam konteks penguatkuasaan, delegasi turut mencadangkan peluasan bidang kuasa kepada penguat kuasa tertentu bagi memantapkan lagi pelaksanaan penguatkuasaan di lapangan.

KDN turut membentangkan laporan ringkas mengenai perkembangan terkini projek pembangunan mushaf al-Quran di bawah inisiatif Jom Exchange Al-Quran (JEQ), yang bertujuan memperluas akses masyarakat kepada naskhah al-Quran yang sahih dan berkualiti.

Perbincangan ini diharap menjadi titik tolak kepada satu sinergi yang lebih mantap antara kedua-dua pihak, dalam usaha mempermudah urusan, memperkukuh amanah dan memberi manfaat menyeluruh kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan.

TOP