KUALA LUMPUR, 28 Julai 2025 – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini melakar satu lagi pencapaian penting dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak apabila melancarkan Permata Junior MAIWP, satu penjenamaan semula bagi pusat asuhan yang sebelum ini dikenali sebagai Taska Darul Hanan.
Majlis pelancaran rasmi telah disempurnakan oleh YBhg. Tuan Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP dalam satu acara yang berlangsung di Bangunan Daruzzakah, Kuala Lumpur. Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP serta barisan pengurusan tertinggi dan para jemputan.
Penjenamaan baharu ini bukan sekadar perubahan nama semata-mata, malah turut memperkenalkan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam modul asuhan yang digunakan. Modul yang diperkasa ini memberi penekanan kepada pendidikan yang seimbang dari sudut intelek, sahsiah dan spiritual, dengan berteraskan nilai-nilai murni Islam sebagai asas pembentukan peribadi anak-anak.
Menurut MAIWP, Permata Junior MAIWP bakal menjadi platform unggul dalam melahirkan generasi muda yang cemerlang, berakhlak mulia dan memiliki jati diri tinggi sejak dari usia awal. Inisiatif ini turut memperkukuh peranan ibu bapa dan pendidik dalam membentuk sahsiah anak-anak, seiring dengan sabda Rasulullah SAW bahawa setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, dan ibu bapalah yang mencorakkan mereka.
Langkah ini selaras dengan matlamat MAIWP untuk menyediakan perkhidmatan asuhan dan pendidikan awal yang berkualiti tinggi kepada masyarakat, khususnya golongan asnaf dan B40 di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Dengan pelancaran Permata Junior MAIWP, MAIWP optimis dapat menyediakan satu permulaan yang terbaik bagi anak-anak kecil, agar mereka membesar dalam suasana yang kondusif, penuh kasih sayang serta berlandaskan nilai-nilai keislaman yang kukuh.




