MAIWP mencipta sejarah dalam usaha MAIWP memperkasa pembangunan modal insan golongan asnaf menerusi penstrukturan semula Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) di bawah naungan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL), yang kini dikenali sebagai Kolej Profesional MAIWP (KP MAIWP).
Momen bersejarah ini disaksikan melalui gimik Pecah Tembok antara IKB dan KPBKL oleh YB Senator Dato' Setia Dr. Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang melambangkan penyatuan dua institusi ini dalam usaha melahirkan generasi asnaf yang lebih berdaya saing.
Majlis ini turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MAIWP dan KPBKL, yang diwakili oleh En. Mohd Fauzi bin Abidin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP dan Prof. Madya Dr. Hj. Mohammad Firdaus Low Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif KPBKL. Majlis menandatangani MoU tersebut turut disaksikan oleh YBhg. Tuan Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP.
Inisiatif ini dilihat sebagai satu pelan transformasi strategik yang menyasarkan pengurusan lebih cekap serta penawaran program kemahiran dan teknikal yang lebih relevan dan berdaya saing kepada komuniti asnaf di Wilayah Persekutuan.
Melalui penstrukturan ini, MAIWP komited untuk menyediakan platform pendidikan berfokus industri yang menyeluruh, selaras dengan usaha membangunkan kumpulan asnaf sebagai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.






