KARNIVAL KL MADANI @ BANDAR TUN RAZAK 2026

Alhamdulillah, Karnival KL Madani @ Bandar Tun Razak (BTR) 2026 telah berlangsung dengan jayanya hari ini bertempat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Bandar Tun Razak. Penganjuran karnival ini bukan sahaja meriah dengan pelbagai pengisian komuniti, malah menjadi platform penting dalam menyantuni golongan memerlukan melalui inisiatif kebajikan yang berterusan.

Majlis ini turut menyaksikan simbolik penyerahan sumbangan bakul makanan menerusi Dana Wakalah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada golongan asnaf. Penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, YAB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, dan disaksikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta YB Puan Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam bin Yahya, bersama barisan kepimpinan dan wakil agensi yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Sumbangan keseluruhan bernilai RM100,000 ini telah memberi manfaat kepada seramai 1,000 orang asnaf, yang majoritinya merupakan penduduk sekitar Parlimen Bandar Tun Razak. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MAIWP dalam memastikan kebajikan golongan asnaf terus terbela, khususnya dalam membantu meringankan beban kos sara hidup melalui penyediaan keperluan asas makanan.

Penganjuran Karnival KL Madani @ BTR 2026 ini secara keseluruhannya melambangkan semangat kebersamaan dan keprihatinan Kerajaan MADANI serta agensi berkaitan dalam mendekati masyarakat, di samping memperkukuh jaringan kerjasama demi kesejahteraan rakyat Wilayah Persekutuan.

TOP