Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah diberi penghormatan untuk menjadi lokasi Mesyuarat Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2025, pada 26 November 2024, semalam.
Mesyuarat tersebut diadakan untuk merancang dan membincangkan persiapan acara berprestij ini yang akan diadakan di Negeri Perlis.
YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dalam ucapan aluan beliau menyambut baik kehadiran YAB Tuan Mohd. Shukri Ramli, Menteri Besar Negeri Perlis, serta seluruh delegasi negeri Perlis.
"Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perlis kerana telah menerima tawaran untuk menjadi tuan rumah bagi Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025," ujar Dr. Mohd Na'im.
Negeri Perlis sekali lagi diberi penghormatan menjadi tuan rumah untuk MTHQK selepas kali terakhir memikul tanggungjawab tersebut pada tahun 2012.
Perlis juga telah dikenali sebagai negeri yang aktif dalam memartabatkan al-Quran di kalangan umat Islam.
Dalam sesi sembah mengadap kepada DYTM Tuanku Raja Muda Perlis pada 2 September lalu, Tuanku Raja Muda telah menzahirkan harapan agar pengisian MTHQK 2025, memberi impak yang lebih bermakna dan holistik kepada umat Islam.
"Saya mengajak semua ahli Jawatankuasa untuk merealisasikan harapan DYTM Tuanku dengan mempelbagaikan program dan aktiviti yang dapat memartabatkan ilmu al-Quran, khususnya kepada umat Islam pelbagai peringkat umur," kata Dr. Mohd Na'im.
Selaku urus setia, JAKIM komited untuk bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan bagi menjayakan acara MTHQK 2025, yang diharapkan dapat berlangsung dengan cemerlang.
Diharapkan dengan usaha bersama, MTHQK 2025, akan menjadi platform penting dalam memartabatkan ilmu al-Quran di kalangan umat Islam di seluruh negara.
Sumber: FB Dato Setia Dr. Na’im





