PERHIMPUNAN BULANAN MAIWP DISEMBER 2024

 

Perhimpunan Bulanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)  Disember 2024, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (PKPE), Datuk Mohd Nizam Haji Yahya, telah menyampaikan ucapan yang peruntukan bajet MAIWP signifikan untuk tahun 2025.

Menurut beliau, pada 10 Oktober 2024, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan Bajet 2025, yang merangkumi dana yang besar untuk Belanja Agihan, Belanja Mengurus, dan Belanja Pembangunan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, termasuk; Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Anggaran pendapatan MAIWP bagi tahun 2025 adalah sebanyak RM1.557 bilion, peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding tahun 2024.

Dari jumlah tersebut, MAIWP telah memperuntukkan sebanyak RM1.675 bilion untuk pelbagai keperluan, termasuk:

RM1.341 bilion untuk Belanja Agihan, RM246.44 juta untuk Belanja Mengurus dan RM87.32 juta untuk Belanja Pembangunan

Bajet yang bertemakan "Melestari Ummah Wilayah Sejahtera" ini dirangka dengan berpandukan lima outcome utama selaras dengan Pelan Strategik MAIWP 2021-2025, iaitu: Memastikan kesejahteraan asnaf, Memantapkan pemerkasaan modal insan melalui pendidikan, Menerajui transformasi digital, Memperkuatkan sistem penyampaian yang lebih efektif dan Memperkasa aset ummah, termasuk pembangunan hartanah.

Pencapaian MAIWP hingga Oktober 2024 juga amat memberangsangkan, dengan perbelanjaan agihan sebanyak RM906.87 juta.

Jumlah ini menunjukkan peningkatan 20 peratus atau bersamaan dengan RM152.17 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.

Lebih membanggakan, jumlah perbelanjaan ini juga melebihi jumlah kutipan zakat sebanyak 22 peratus, iaitu bersamaan dengan RM164.9 juta, mencerminkan komitmen MAIWP untuk mengagihkan dana zakat secara holistik kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan.

PKPE memaklumkan bahawa pada 5 Disember 2024, MAIWP telah dianugerahkan Anugerah Rakan Kolaborasi Bersinergi AKPK 2023/2024 bertemakan "Growing With Purpose" yang disampaikan di Sasana Kijang, Kuala Lumpur.

Selain itu, dalam perhimpunan tersebut, 4 pegawai telah diberi Anugerah Pegawai Berprestasi Bulanan bagi bulan Oktober 2024: Saliza binti Ahmad - UUU, Rodiah binti Draman - BPPH, Siti Faizah binti SH Yusof - BWP dan Muhammad Hafizzulhanif bin Ghazali - BTM

Perhimpunan ini turut menyaksikan penyertaan MAIWP dalam beberapa acara penting, antaranya; Konvensyen KIK Kebangsaan, Kejohanan MAKSWIP 2024 dan Kejohanan Dart 3 KSDK MPBJ Beregu Wanita, yang menunjukkan semangat dan dedikasi tinggi oleh pegawai-pegawai MAIWP dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Datuk Mohd Nizam merakamkan penghargaan kepada semua yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang bulan lalu.

Pencapaian ini bukan sahaja satu pengiktirafan, tetapi juga merupakan galakan untuk terus berusaha meningkatkan produktiviti dan memberikan kualiti kerja terbaik demi kemajuan organisasi dan masyarakat.

TOP