KENYATAAN MEDIA
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(HAL EHWAL AGAMA)
1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
berasa dukacita dengan kejadian yang berlaku di premis jualan runcit 24 jam
yang terletak di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Tindakan segelintir pihak
yang menyalahgunakan label logo halal pada produk adalah satu
kesalahan yang serius.
2. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin
memberikan peringatan kepada semua pihak agar tidak menyalahgunakan label logo
halal pada mana-mana produk yang dikeluarkan.
Tindakan menyalahgunakan label logo
halal adalah suatu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730]
iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
3. Sehubungan dengan itu, pihak Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah untuk bekerjasama dengan pihak Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengambil tindakan
penguatkuasaan dan membawa ke muka pengadilan.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal
Agama) tidak akan berkompromi dengan apa-apa isu yang melibatkan integriti dan
kepentingan awam.
4. Semua pihak adalah dimohon untuk sentiasa
merujuk kepada JAKIM dan pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri dalam isu-isu
berkaitan halal.
Sekian, terima kasih.
SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM BIN HJ.
MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
13 Januari 2025

