KUNJUNGAN HORMAT RAJA ZARITH SOFIAH CENTRE FOR ADVANCED STUDIES ON ISLAM, SCIENCE AND CIVILIZATION (RZS-CASIS)

KUALA LUMPUR, 15 Julai 2025– Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada delegasi Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilization (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang diketuai oleh Yang Berusaha Dr. Mohd Hilmi bin Ramli, Pengarah RZS-CASIS.

Kunjungan yang berlangsung di ibu pejabat MAIWP ini bertujuan membincangkan peluang kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam usaha memperkukuh pembangunan ilmu pengetahuan dan kebajikan ummah di Wilayah Persekutuan. Antara perkara utama yang dibincangkan ialah rancangan untuk menjadikan RZS-CASIS sebagai entiti berstatus wakaf serta usaha mendapatkan pengiktirafan sebagai penerima manfaat wakaf dan zakat bagi membiayai pelbagai inisiatif ilmiah dan kebajikan.

Perbincangan tersebut telah dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Tuan Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, bersama barisan pengurusan tertinggi MAIWP. Turut hadir ialah pegawai kanan kedua-dua organisasi yang terlibat secara langsung dalam perancangan dan pelaksanaan projek-projek strategik.

MAIWP menyambut baik hasrat murni RZS-CASIS untuk menjadi peneraju pusat pengajian Islam bertaraf wakaf yang mampu menyumbang kepada pembangunan modal insan, penghasilan wacana keilmuan berkualiti tinggi, dan pengukuhan ekosistem penyelidikan berteraskan nilai-nilai Islam. Usaha ini dilihat selari dengan visi MAIWP untuk mengoptimumkan pengurusan wakaf dan zakat demi kesejahteraan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan.

MAIWP percaya bahawa kerjasama seumpama ini bukan sahaja akan memperkukuh hubungan antara institusi agama dan institusi pengajian tinggi, malah akan membuka lebih banyak peluang untuk melaksanakan program pembangunan ilmu, pendidikan, penyelidikan dan kebajikan yang lebih inklusif dan berimpak tinggi.

Semoga inisiatif yang dirintis ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam membangunkan masyarakat Islam yang berilmu, berdaya saing dan sejahtera, seterusnya memberi manfaat yang lebih meluas kepada pembangunan ummah di Wilayah Persekutuan.

TOP