JAWI Lepaskan 5 Tan Abu al-Quran Ke Laut
Alhamdulillah pada hari ini Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia telah berjaya melaksanakan Program
Pemuliaan Al-Quran bersama beberapa rakan strategik termasuk Istana Negara,
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pejabat Mufti Wilayah
Persekutuan, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan SWCorp di Institut Latihan Pengangkutan
Laut (MATRAIN) Pelabuhan Klang, Selangor Darul Ehsan.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh SS Tuan Haji Jamali bin Haji Adnan,
Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan dan seterusnya majlis perasmian disempurnakan oleh Tuan Haji Hanifuddin bin
Roslan, Pengarah JAWI.
Majlis ini turut dihadiri oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara,
Datuk Paduka Maharaja Lela, Pengerusi MAIWP & Timbalan Ketua Pengarah
(Perancangan) Jabatan Laut Malaysia.
Pusat Pemuliaan Al-Quran Darul Kalam JAWI telah memproses 5 tan abu
Al-Quran dalam tempoh beberapa tahun yang lepas dan abu-abu tersebut telah
selesai dilepaskan ke laut bagi melengkapkan proses pemuliaan Al-Quran pada
hari ini.
Proses pemuliaan Al-Quran ini telah menggunakan perkhidmatan kapal Polaris
hak milik Jabatan Laut Malaysia.
Semoga kerjasama JAWI bersama Jabatan Laut Malaysia dan rakan-rakan
strategik yang lain ini akan diteruskan lagi di masa hadapan demi memartabatkan
al-Quran.
Sumber: FB Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan








