SEMINAR KELUARGA BAHAGIA: MENGUKUHKAN PERANAN WANITA


Penerima Bantuan Kewangan Bulanan dan Bantuan Perkahwinan ( asnaf wanita) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), seramai 290 orang menghadiri Seminar Keluarga Bahagia yang dianjurkan oleh Unit Kerohanian, Bahagian Pembangunan Asnaf (BPA) di Dewan Seminar di sini.

Tujuan utama seminar untuk memperkasa golongan wanita, terutama dalam pembentukan keperibadian unggul yang berlandaskan ajaran Islam, sesuai dengan prinsip yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis.


Objektif Seminar

Seminar ini bertujuan mendidik wanita agar menjadi muslimah yang berkualiti, bukan hanya dalam aspek keagamaan tetapi juga dalam aspek pembentukan peribadi yang baik.

Peserta diajar untuk memperkukuh akhlak serta memperkasa peranan wanita dalam masyarakat.

Seminar juga memberi penekanan kepada persiapan mental dan rohani bagi menghadapi pelbagai cabaran dan fitnah yang berlaku di akhir zaman, dengan penuh ketabahan dan keimanan.


Panel penceramah terkemuka hadir

Beberapa panel penceramah terkemuka telah diundang untuk berkongsi ilmu dan pengalaman, antaranya:


1.        Dr. Sofiah binti Samsudin, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang membincangkan topik Mardhatilah Keluarga Bahagia.


”Malaikat-malaikat itu berkata: "Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkatNya melimpah-limpah kepada kamu, wahai ahli rumah ini. Sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi Maha Melimpah kebaikan dan kemurahanNya." (Quran, surah Hud: 73)

2.        Ustazah Noraini (Ustazah Nony), mengupas Tadabbur Surah Al-Ahzab Ayat 35 dengan tajuk Wanita Dambaan Syurga.


”Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”

3.        Puan Yatt Hamzah, berkongsi pengalaman dalam topik Penghijrahan.

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” (Quran, surah al-Baqarah: 261)

Kelebihan membelanjakan harta ke jalan Allah; zakat, sedekah, infaq dan wakaf  dunia dan akhirat, antaranya:

n  membersihkan dari dosa dan menyucikan dari akhlak yang buruk

n  membuka pintu rezeki

n  sentiasa dilindungi Allah dunia dan akhirat

n  dapat hindari musibah/kesusahan

n  akan murahkan rezeki

n  harta tidak berkurang malah makin melimpah

n  selamat dari api neraka dan azab kubur

n  akan bantu sejukkan kubur

n  ubati penyakit

n  akan masuk syurga melalui pintu-pintu membelanjakan harta di jalan benar

n  akan menjadi naungan di akhirat kelak

n  manfaat amal jariah akan mengalir selamanya

n  pahala zakat, sedekah, infaq, wakaf akan sampai kepada ibu-bapa  dan keluarga di alam barzakh


Majlis Perasmian Seminar

Seminar ini dirasmikan oleh Ustaz Ahmad Saifuddin bin Haji Md Tahir, Pengurus BPA.

Manakala ucapan alu-aluan oleh Ustaz Mohd Rafie bin Zakaria, Timbalan Pengurus BPA.


Harapan Penganjur

Penganjur berharap seminar ini dapat memperkukuh budaya ilmu di kalangan peserta, meningkatkan kefahaman agama, serta menanamkan semangat dan keyakinan diri.

Ilmu yang diperoleh diharapkan dapat membantu peserta untuk menghadapi kehidupan dengan penuh integriti dan optimisme.

Dengan bimbingan yang diberikan, diharapkan wanita asnaf MAIWP akan lebih bersedia menghadapi pelbagai cabaran hidup dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.

TOP