TAKLIMAT GURU PENGHUBUNG MAIWP BANTUAN AM PERSEKOLAHAN SESI 2026

KUALA LUMPUR – Taklimat Guru Penghubung Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi pelaksanaan Bantuan Am Persekolahan Sesi 2026 telah berjaya dilaksanakan dengan penglibatan seramai 336 orang guru daripada sekolah rendah dan sekolah menengah di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Taklimat ini melibatkan guru-guru yang dilantik sebagai Guru Penghubung MAIWP, yang berperanan sebagai pengantara utama antara pihak MAIWP dan pihak sekolah dalam proses mengenal pasti murid yang layak menerima Bantuan Am Persekolahan. Peranan strategik ini amat penting bagi memastikan bantuan pendidikan dapat disalurkan kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan.

Program tersebut dianjurkan bagi memastikan maklumat berkaitan skim bantuan pendidikan MAIWP, khususnya Bantuan Am Persekolahan, dapat disampaikan dengan jelas, tepat dan berkesan kepada pihak sekolah, sekali gus melancarkan pelaksanaan bantuan di peringkat akar umbi.

Majlis taklimat ini telah dirasmikan oleh Pengurus Bahagian Agihan Zakat MAIWP, Encik Ahmad Saifuddin bin Hj. Md. Tahir, yang turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara MAIWP dan pihak sekolah dalam memastikan kebajikan pendidikan murid asnaf terus terpelihara.

Melalui penganjuran taklimat ini, diharapkan Bantuan Am Persekolahan dapat disalurkan kepada lebih ramai pelajar yang benar-benar memerlukan, di samping mengukuhkan lagi jaringan kerjasama strategik antara MAIWP dan Guru Penghubung MAIWP di sekolah-sekolah sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

TOP