MAJLIS GRADUASI LATIHAN DAN KERJAYA MAIWP KALI KE-4

Kuala Lumpur — Seramai 280 graduan asnaf diraikan dalam Majlis Graduasi dan Apresiasi Latihan dan Kerjaya MAIWP Kali Ke-4 yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB hari ini. Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar.

Program latihan anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu merupakan usaha berterusan untuk melahirkan modal insan asnaf yang berkemahiran tinggi, berdaya saing dan mampu keluar daripada belenggu kemiskinan melalui pendidikan, latihan serta peluang kerjaya. Dalam ucapannya, YB Menteri menyifatkan para graduan sebagai “pelaburan zakat yang paling berjaya” apabila ramai daripada mereka kini telah bekerja dan mempunyai pendapatan stabil.

Pengerusi MAIWP, YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, turut merakamkan penghargaan kepada para pembayar zakat serta tujuh agensi latihan rakan strategik termasuk Auto Prima College, DRB-Hicom University dan Mara Liner Sdn Bhd atas komitmen mereka membangunkan kemahiran peserta program.

Sejak 2022, program latihan ini telah melahirkan graduan dalam pelbagai bidang kemahiran melalui peruntukan sebanyak RM8.08 juta, merangkumi kursus jangka pendek, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma. MAIWP komited memperkukuh ekosistem pembangunan asnaf melalui latihan, penempatan pekerjaan dan bimbingan kerjaya selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya bersama barisan pengurusan MAIWP.

TOP