KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Pertemuan rasmi di antara Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah berlangsung pada hari ini bagi membincangkan kerjasama strategik dalam menjayakan penganjuran World Quran Convention 2025 (WQC 2025) yang dijadualkan berlangsung pada bulan Disember ini.
Pertemuan tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi MAIWP, YBhg. Tuan Syed Kamarulzaman Bin Syed Kabeer, yang turut diiringi oleh beberapa pegawai kanan MAIWP. Perbincangan memberi tumpuan kepada pelbagai aspek kerjasama meliputi sokongan penganjuran, penglibatan agensi serta peranan bersama dalam memastikan kejayaan konvensyen berskala antarabangsa itu.
Yayasan Warisan Ummah Ikhlas pula diwakili oleh barisan pengurusan tertinggi yang diketuai oleh YBrs. Puan Marhaini Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif Warisan Ummah Ikhlas Foundation, di samping YBrs. Cik Maslinda Mohd Esak, Ketua Pegawai Operasi, YBrs. Puan Rozalina Mohamed, Pengurus, dan YBrs. Puan Siti Sarah Ambok Dalek, Eksekutif Acara & Kempen. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen Yayasan dalam memperkukuh sinergi dengan agensi agama utama negara.
World Quran Convention merupakan platform global yang menghimpunkan para ilmuwan, pemimpin masyarakat, serta pencinta al-Quran dari seluruh dunia bagi membincangkan mesej al-Quran dalam konteks semasa. Penganjuran WQC 2025 di Malaysia bakal menjadi medan penting untuk memperkukuh kefahaman ummah terhadap kandungan al-Quran, di samping mengangkat martabat Malaysia sebagai pusat rujukan ilmu al-Quran di peringkat antarabangsa.
Pertemuan ini menandakan langkah awal ke arah hubungan kerjasama yang lebih erat antara MAIWP dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas. Kedua-dua pihak optimis bahawa usaha sama ini mampu memberi impak besar dalam memperluas kefahaman, penghayatan dan pengamalan al-Quran dalam kehidupan masyarakat, selaras dengan aspirasi menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup umat Islam.




