SEMINAR FALAK 2025 PERKUKUH KEFAHAMAN ILMU LANGIT

Kuala Lumpur, 19 Jun 2025 – Dewan Al-Qaradawi, Kompleks Darul Kifayah hari ini menjadi lokasi penganjuran Seminar Falak: Simfoni Keajaiban di Langit Semesta 2025, sebuah program ilmiah anjuran MAIWP yang menghimpunkan pakar falak, pendidik, pelajar serta masyarakat umum dalam usaha memperkasa ilmu falak syarie.

Seminar ini bertujuan memberi pendedahan mendalam tentang fenomena langit dan sistem cakerawala, khususnya dalam konteks penentuan waktu ibadah umat Islam seperti solat dan arah kiblat. Ia turut menghubungkan pendekatan saintifik dan spiritual dalam memahami keagungan ciptaan Ilahi.

Antara objektif utama seminar ini ialah meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan ilmu falak dalam kehidupan seharian, memperkukuh kefahaman peserta mengenai peranan institusi negara dalam memartabatkan ilmu falak Islam, serta menyediakan medium jaringan ilmiah antara peserta dan pakar dalam bidang ini.

Majlis dirasmikan oleh YBhg. Tuan Haji Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), yang turut diiringi YBrs. Mohd Fauzi bin Abidin, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP.

Seminar dimulakan dengan ceramah pertama bertajuk "Falak sebagai Warisan Keilmuan Islam dan Pemacu Inovasi", disampaikan oleh Ustaz Nik Abdul Rahman bin Mustapha, Ahli Falak dan Ruqyah Wilayah Persekutuan, yang menekankan kesinambungan tradisi falak dalam tamadun Islam serta potensi inovasi dalam konteks kontemporari.

Ceramah kedua pula disampaikan oleh Dr. Radzuan Nordin, Pensyarah UTeM dan ahli Jawatankuasa Falak Syarie Malaysia. Beliau menyorot peranan ilmu falak dari sudut saintifik dan kepentingannya dalam menyokong ketetapan ibadah berdasarkan syariat.

Dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, seminar ini diharap mampu menyemarakkan minat terhadap ilmu falak serta merangsang perkembangan penyelidikan dan pendidikan dalam bidang tersebut pada masa akan datang.

TOP