KUNJUNGAN HORMAT MAIWP KE DBKL

KUALA LUMPUR, 10 Disember– Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang diketuai oleh Pengerusinya, YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, hari ini mengadakan kunjungan hormat ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Lawatan tersebut disambut oleh YBhg. Dato’ TPr Fadlun bin Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur, bersama barisan kepimpinan DBKL.

Kunjungan ini bertujuan memperkukuh hubungan kerja sedia ada di antara MAIWP dan DBKL, selain meneroka pelbagai bentuk kerjasama strategik yang berpotensi memberikan manfaat besar kepada masyarakat di Wilayah Persekutuan. Pertemuan tersebut turut menjadi platform penting untuk membincangkan pelaksanaan inisiatif yang menyentuh aspek kebajikan, pembangunan komuniti dan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan.

Antara perkara utama yang disentuh termasuklah cadangan pengambil alihan ruang perniagaan di Darul Zakkah bagi dijadikan ruang pejabat baharu MAIWP, sekaligus meningkatkan kecekapan operasi dan penyampaian perkhidmatan kepada asnaf dan masyarakat umum. Selain itu, MAIWP turut mengemukakan permohonan penyewaan 100 unit Council Home sebagai penyelesaian penempatan jangka panjang kepada kumpulan sasar tertentu yang memerlukan sokongan perumahan yang stabil.

Dalam usaha memperluaskan jangkauan maklumat berkaitan bantuan dan program MAIWP, perbincangan turut melibatkan cadangan penyertaan slot MAIWP dalam program komuniti anjuran DBKL. Langkah ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap inisiatif kebajikan yang ditawarkan serta mengukuhkan kerjasama kedua-dua agensi dalam mendekati masyarakat setempat.

Selain itu, MAIWP dan DBKL turut membincangkan keperluan mewujudkan ruang solat Jumaat di kawasan Bukit Bintang, salah satu kawasan tumpuan utama pelancong dan penduduk setempat yang memerlukan kemudahan ibadah yang lebih selesa dan terancang. Isu berkaitan penstrukturan semula lokasi Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) serta beberapa potensi kerjasama strategik lain turut mendapat perhatian dalam sesi pertemuan tersebut.

Kunjungan hormat ini secara keseluruhannya menzahirkan komitmen bersama antara MAIWP dan DBKL untuk terus berganding bahu dalam memperkukuh kebajikan masyarakat, memantapkan penyampaian perkhidmatan serta memakmurkan Wilayah Persekutuan secara menyeluruh. Kerjasama yang erat ini diyakini mampu memberi impak signifikan dalam meningkatkan kualiti hidup warga kota sekaligus memacu pembangunan sosial secara berterusan.

TOP