MAIWP meraikan 400 asnaf dengan mengadakan Majlis
Iftar Bersama Asnaf di Masjid Wilayah Persekutuan pada hari ini.
Majlis ini merupakan acara tahunan MAIWP setiap
kali berada di dalam bulan Ramadan bagi membuktikan keprihatinan MAIWP
menyantuni asnaf dalam pelbagai cara.
Pengerusi MAIWP, Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer
dalam ucapannya mengumumkan bantuan Aidilfitri RM 500.00 akan disalurkan kepada
semua penerima bantuan sara hidup di Wilayah Persekutuan.
“ Sukacita saya mengumumkan bahawa Bantuan
Aidilfitri berjumlah RM 500 akan disalurkan kepada penerima bantuan zakat MAIWP
dan institusi pendidikan di bawah MAIWP akan menerima RM 300”
Dalam majlis tersebut Pengerusi MAIWP turut
menyampaikan cek cura kepada Pertubuhan Kebajikan Islam ( PERKIM) sebanyak RM 2
juta, Pertubuhan Gerakan India Muslim Malaysia ( GEPIMA) sebanyak RM 200 ribu,
Pertubuhan Dakwah Interaktif dan Tarbiah ( IDT) sebanyak RM 300 ribu,
Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia ( PKOKM) sebanyak RM 50 ribu dan
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia sebanyak RM 50 ribu.
MAIWP turut menyumbang cenderahati kepada 400 orang
asnaf yang hadir pada majlis ini menjadikan keseluruhan bantuan yang disalurkan
sebanyak RM 20.02 juta. Selain itu, kanak-kanak yang hadir turut diraikan
dengan agihan duit raya.
Hadir bersama YBhg. Datuk Mohd Nizam Haji Yahya,
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP dan YBrs. Encik Mohd Fauzi Abidin,
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP.




