Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyampaikan sumbangan komputer riba kepada 904 mahasiswa di kalangan anak asnaf dan golongan B40 melalui dana zakat dengan jumlah keseluruhan bernilai RM3,417,120.00.
Bantuan ini adalah skim bantuan baharu yang diperkenalkan, iaitu; Skim Bantuan Komputer Riba MAIWP bernilai RM3,780.00 sebuah.
Tuan Haji Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP berkata;
"Ia merupakan skim bantuan baharu yang diwujudkan bagi meringankan beban kewangan ibu bapa asnaf dan B40.
"Melihat kepada keperluan ini, MAIWP mengorak langkah menawarkan Skim Bantuan Komputer Riba kepada mahasiswa dari kalangan anak-anak asnaf yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi," ujar tuan haji Syed.
Salah seorang penerima Skim Bantuan Komputer Riba MAIWP 2024, Nur Afiyah Azizul Rahim meluahkan rasa syukur kerana bantuan tersebut dapat memudahkannya untuk melakukan tugasan terutama pada golongan yang tidak berkemampuan.
Dia yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik terpaksa berkongsi komputer riba dengan adiknya yang belajar di Pahang dan perlu menunggu waktu cuti untuk membuat tugasan.
“Saya berasa bersyukur kepada MAIWP sebab dengan bantuan komputer riba ini, boleh bantu saya untuk belajar dan menyenangkan buat kerja kalau tidak ia amat susah.
"Antara cabaran saya sebelum ini, perlu berkongsi komputer riba dengan adik yang keempat dan perlu tunggu dia cuti baru boleh guna komputer riba untuk buat kerja,” ujarnya.
Turut hadir pada program ini Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman Bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan, merangkap Ahli MAIWP dan Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP.























