TITIK NOKTAH, TAPI BUKAN PENGAKHIRAN

Johor Bahru, 18 Julai 2025 – Program Kembara Zakat  melabuhkan tirainya di negeri Johor hari ini, menandakan tamatnya sebuah perjalanan penuh makna dalam menyantuni golongan asnaf di Negeri Johor Darul Takzim.

Majlis penutupan rasmi telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), YBhg. Dato’ Selamat Paigo, yang turut disertai oleh Sohibus Samahah Timbalan Mufti Negeri Johor, YB Dato’ Haji Ahmad Faisal Mohamed, serta wakil-wakil utama agensi zakat negeri dan persekutuan, sekali gus memperlihatkan kesepaduan dan komitmen semua pihak dalam memperjuangkan amanah zakat demi kesejahteraan ummah.

Program anjuran bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan rakan pelaksana khususnya Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) ini bukan sahaja berjaya menghulurkan bantuan kepada masyarakat asnaf yang memerlukan, malah turut menyemai semangat kebersamaan, kasih sayang dan empati antara masyarakat dengan institusi zakat. Setiap langkah perjalanan, setiap pelukan yang hangat dan setiap senyuman yang dikongsi sepanjang kembara ini bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan nilai kemanusiaan yang tulus dan ikhlas.

Meskipun konvoi fizikal ini telah berakhir, namun misi memartabatkan institusi zakat akan terus bersemarak, selari dengan semangat “Dari Ummah, Untuk Ummah”. Komitmen untuk terus menyantuni golongan asnaf tidak akan terhenti di sini, bahkan akan diteruskan dengan pelbagai inisiatif berterusan selagi masih ada insan yang memerlukan dan selagi ada hati yang sudi memberi.

MAIWP turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini — termasuk agensi kerajaan, institusi zakat negeri, sukarelawan, dan seluruh masyarakat yang memberikan sokongan dan kerjasama erat sepanjang penganjuran. Semangat kesungguhan dan solidariti inilah yang menjadi pemacu utama kepada kelangsungan perjuangan zakat di Malaysia.

Kembara Zakat Kebangsaan 2025 bukan sekadar satu acara, tetapi satu manifestasi tanggungjawab bersama dalam membina negara sejahtera berlandaskan prinsip keadilan sosial dan keberkatan rezeki yang diagihkan.

TOP