IKIM DILANTIK SEBAGAI MUTAWALLI

16 Julai - Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah dilantik sebagai Mutawalli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam suatu Majlis Menandatangani Perjanjian Pelantikan Mutawalli yang diadakan di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.

Ketika merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pelantikan Mutawalli di antara Institut Kefahaman Islam Malaysia & Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, YB Menteri, Senator Dato' Setia Dr. Hj. Mohd. Na'im Hj. Mokhtar, dalam teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Datuk Dr. Muhammad Nur bin Manuty, Pengerusi IKIM, membacakan sepotong ayat Al-Quran dalam surah AI-Maidah ayat 2:

“...Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

Berikut adalah teks ucapan tersebut:

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat berkumpul pada hari yang berbahagia ini bagi menyempurnakan Majlis Menandatangani Perjanjian Pelantikan Mutawalli di antara Institut Kefahaman Islam Malaysia & Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pra Pelancaran Tabung Dana Wakaf IKIM yang amat bermakna ini.

Para hadirin yang dihormati,

Institusi wakaf di Malaysia telah melalui transformasi yang signifikan sejak penubuhannya.

Wakaf, sebagai satu bentuk sedekah jariah, memainkan peranan yang penting dalam pembangunan sosial dan ekonomi umat Islam.

Melalui wakaf, pelbagai kemudahan dan infrastruktur telah dibangunkan, termasuklah sekolah, masjid, hospital, dan pusat komuniti, yang semuanya memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Bahkan, Kerajaan Malaysia, melalui agensi-agensi berkaitan dengan kerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri, telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkukuhkan institusi wakaf.

Antaranya, ialah memperkenalkan dasar dan undang-undang yang lebih komprehensif untuk mengurus dan memajukan harta wakaf, serta memperhebatkan kempen kesedaran mengenai kepentingan wakaf kepada umat Islam.

Wakaf merupakan satu institusi yang telah lama wujud dalam tamadun Islam dan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan masyarakat.

Institusi ini bukan sahaja membantu dalam menyediakan kemudahan asas seperti pendidikan, kesihatan, dan keagamaan, tetapi juga berperanan dalam memperkukuhkan ekonomi umat Islam.

Wakaf adalah satu bentuk sedekah jariah yang mana pahalanya akan terus mengalir kepada pewakaf selagi mana harta yang diwakafkan itu dimanfaatkan oleh masyarakat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Apabila mati anak Adam, maka terputuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh yang mendoakannya."

Para hadirin sekalian,

Di Malaysia, Wakaf mendapat perhatian serius dari pihak kerajaan.

Usaha-usaha sedang giat dijalankan untuk memperkasa dan mengembangkan lagi potensi wakaf dalam membantu membangunkan negara dan memperbaiki taraf hidup masyarakat.

Dalam konteks ini, kita perlu bersama-sama menyokong dan menyumbang kepada pembangunan wakaf, sama ada melalui harta, tanah, atau apa sahaja bentuk sumbangan yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.

Setiap daripada kita mempunyai peranan yang boleh dimainkan.

Kehebatan wakaf bukan sahaja terletak pada sumbangan fizikalnya, tetapi juga pada nilai spiritual dan sosial yang dibawanya.

Wakaf merupakan satu bentuk pelaburan akhirat yang kekal abadi.

Setiap sumbangan yang diberikan akan terus mengalir pahalanya kepada pewakaf selagi harta wakaf tersebut dimanfaatkan oleh masyarakat.

Majlis Menandatangani Perjanjian Pelantikan Mutawalli antara IKIM dan MAIWP amat penting bagi memastikan pengurusan dan pembangunan harta wakaf dapat dijalankan dengan lebih cekap dan berkesan.

Saya yakin dan percaya bahawa dengan perjanjian pelantikan mutawalli yang ini, IKIM dan MAIWP akan terus dapat bergandingan memperkasakan peranan masing-masing dan saling bekerjasama erat dalam menguruskan harta wakaf demi kepentingan umat Islam di negara ini.

Oleh itu, pada kesempatan ini saya ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada IKIM dan MAIWP atas usaha yang amat baik dan murni bersama-sama membangunkan tabung dana wakaf IKIM dan seterusnya akan menyumbang kepada memperkukuhkan institusi wakaf di Malaysia.

Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua pihak, termasuklah individu, sektor korporat, dan pertubuhan bukan kerajaan, untuk terus menyokong dan menyumbang kepada pembangunan wakaf IKIM.

Hanya dengan kerjasama yang erat dan komitmen yang tinggi, kita dapat memastikan institusi wakaf terus berkembang dan memberi manfaat yang berpanjangan kepada masyarakat.

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada MAIWP yang secara langsung terlibat dalam penubuhan Tabung Dana Wakaf IKIM ini.

Semoga dengan termeterainya perjanjian dan pelantikan mutawalli antara IKIM dan MAIWP ini, akan memberi manfaat dan faedah kepada kedua-dua pihak.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam usaha memajukan wakaf di Malaysia.

Juga kepada para pewakaf dan para dermawan.

Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita dan menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.

Marilah kita bersama-sama berdoa agar institusi wakaf terus berkembang maju dan memberi manfaat yang berpanjangan kepada umat Islam dan seluruh masyarakat.

Dengan lafaz mulia Bismillahirahmanirohim saya merasmikan majlis Menandatangani Perjanjian Pelantikan Mutawalli di antara Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) & Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Dan Pra Pelancaran Tabung Dana Wakaf IKIM.

Sekian,

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

TOP