Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi memperkukuh jaringan kerjasama dalam pelaksanaan program komuniti.
Sejak 2022 hingga 2024, UCTC UPM telah melaksanakan pelbagai inisiatif bersama golongan asnaf di bawah MAIWP di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, dengan fokus kepada pembangunan sahsiah dan sosioekonomi.
Kunjungan ini bertujuan membincangkan peluang baharu untuk meneruskan projek komuniti sedia ada serta menjajarkan potensi kerjasama baharu yang dijangka dapat memberikan impak positif kepada masyarakat setempat.
Kunjungan ini dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Khairulmazmi Ahmad, Pengarah UCTC UPM, bersama Encik Muhammad Adip Bin Mohd Tamami dan Encik Muhammad Muhsin Nor Azmi, Pegawai Pertanian Transformasi Komuniti Universiti, UPM.
Delegasi ini disambut mesra oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, bersama Encik Ahmad Talmizi Bin Yahaya (Pengurus Bahagian Agihan Zakat), Encik Affandey Bin Yaakub (Pengurus Bahagian Pembangunan Insan), Puan Sutera Manis Binti Zamzam (Pengurus Unit Komunikasi Korporat) dan Encik Mohd Rafie Bin Zakaria (Timbalan Pengurus Bahagian Pembangunan Asnaf).
Semoga kerjasama strategik ini menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih
banyak inisiatif yang bermanfaat, khususnya dalam usaha memperkasakan golongan
asnaf dan masyarakat di Wilayah Persekutuan.








