25 Nov 2025 – Pada kali ini MAIWP dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah menjadi tuan rumah Perhimpunan Agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertempat di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Mengekalkan tema ‘ Islam Mekar di Bumi Malaysia’, perhimpunan ini telah disertai lebih 1,000 pegawai dari pelbagai agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar.
Hadir sama memeriahkan program ini ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Behormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, ketua-ketua agensi serta warga kerja agensi masing-masing yang turut memberikan sokongan terhadap penganjuran program ini.
Program ini berfungsi sebagai ruang strategik bagi memperkukuh hubungan antara agensi, mengangkat semangat kerjasama serta menyelaras usaha sama dalam merealisasikan agenda transformasi Hal Ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Selain itu, terdapat reruai pameran daripada syarikat MAIWP termasuklah jualan daripada usahawan asnaf MAIWP.
Program dimulakan dengan Pemeriksaan Perbarisan Pasukan Sukarelawan JPM – HEA (Skuad Ihsan MADANI), Persembahan Nasyid ‘ Islam Mekar di Bumi Malaysia’, tayangan khas pencapaian agensi Hal Ehwal Agama seterusnya penyampaian Amanat oleh Menteri di JPM ( HEA).
Dalam program ini turut diadakan Peluncuran Buku Islam Mekar Bersama Malaysia Madani oleh IKIM.
Penerbitan buku ini mendokumentasikan segala gerak kerja dan pencapaian agensi hal ehwal agama dalam tempoh 3 tahun (2023 -2025).
Penyampaian Penghargaan Kecemerlangan Agensi Hal Ehwal Agama Peringkat Antarabangsa turut disampaikan kepada 3 kumpulan KIK MAIWP yang telah dianugerahkan Gold Award dalam International Convention on Quality Control Circle (ICQCC) di Taipei, Taiwan. Selain itu pencapaian di peringkat antarabangsa ini juga turut diterima oleh Yayasan Waqaf Malaysia, JAKIM, Lembaga Tabung Haji dan IKIM.
Anugerah peringkat kebangsaan turut disampaikan kepada MAIWP iaitu Anugerah Hari Inovasi Peringkat JPM (Naib Johan - Kumpulan Vcross dan Greenovasi) dan 2 anugerah replikasi ( Kumpulan Vcross dan Thinkers).
Turut disampaikan hadiah kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia ( JKSM) yang dinobatkan Johan bagi Pertandingan Dekorasi Ruang Pejabat sempena Bulan Kebangsaan Peringkat Agensi Hal Ehwal Agama Tahun 2025.
Menambah kemeriahan, program pada kali ini turut mengadakan satu kejutan istimewa iaitu sambutan ringkas Hari Lahir Menteri di JPM (HEA). Seluruh warga agensi HEA mendoakan agar YBM HEA terus dikurniakan kesejahteraan serta kelancaran dalam memimpin agenda hal ehwal agama.
MAIWP mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada IKIM, warga kerja HEA serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini. Semoga kerjasama baik ini terus diperkukuh pada masa akan datang.






