Kuala Lumpur, 16 Oktober 2025- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menerima kunjungan Jaulah Rasmiyyah daripada delegasi Friends of Ministry (FOM) dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara FOM dan agensi-agensi di bawah pimpinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Kunjungan tersebut bertujuan mempererat jaringan kerjasama dan perkongsian dalam pelaksanaan program pembangunan ummah, selaras dengan hasrat memperkasa agenda Islam di peringkat nasional.
Delegasi FOM disambut mesra oleh YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, serta YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, bersama barisan pengurusan tertinggi di ibu pejabat MAIWP.
Dalam sesi taklimat yang diadakan, pihak MAIWP telah membentangkan peranan, fungsi, serta pelbagai inisiatif dan skim bantuan yang dilaksanakan bagi membantu masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan. Antara yang turut dikongsikan termasuk program pembangunan asnaf, bantuan pendidikan, keusahawanan, serta pelbagai inisiatif kesejahteraan sosial yang dibiayai melalui dana zakat.
Sesi kunjungan turut menjadi platform untuk memperkukuh kolaborasi antara FOM dan MAIWP dalam meneroka pendekatan baharu ke arah mempertingkat keberkesanan program dakwah, kebajikan, serta pembangunan insan di bawah sektor Hal Ehwal Agama.
Jaulah Rasmiyyah ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam menyokong usaha kerajaan membina masyarakat Islam yang sejahtera, progresif dan berdaya tahan.






