IJTIMA’ MADANI ULAMA DAN GURU PONDOK KELANTAN 2025 PERKUKUH PERANAN INSTITUSI AGAMA

Machang, 9 Ogos 2025 – Ijtima’ Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 berlangsung meriah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan, Kampus Machang, dengan penyertaan pelbagai agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Majlis perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Naim bin Haji Mokhtar serta Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), YBhg. Tuan Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer.

Penganjuran program ini bertujuan mengeratkan hubungan antara institusi pondok dan Kerajaan Persekutuan selain memperkukuh peranan institusi agama dalam memperkasa pendidikan Islam. Ia juga diharap dapat melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia serta mampu mempertahankan warisan ilmu Islam dalam era moden.

Dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri menegaskan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan agama dan masyarakat agar warisan keilmuan Islam terus berkembang serta kekal relevan sepanjang zaman.

MAIWP turut mengambil peluang memperkenalkan peranan dan inisiatifnya melalui reruai pameran di lokasi program. Pihak MAIWP merakamkan penghargaan kepada penganjur, agensi Hal Ehwal Agama serta rakan strategik yang menjayakan program ini.

Ijtima’ Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 diharap menjadi titik tolak kepada pengukuhan hubungan strategik antara institusi pondok dan kerajaan, sekali gus mengangkat martabat pendidikan Islam di persada nasional.

TOP