MELAKA, 18 Oktober 2025 – Majlis perasmian Melaka International Halal Festival 2025 (MIHF’25) berlangsung meriah hari ini dengan perasmiannya disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka. Turut hadir Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bersama delegasi Menteri-Menteri Agama serantau dari Brunei Darussalam, Republik Indonesia dan Republik Singapura (MABIMS) yang turut memeriahkan acara tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, turut hadir bagi menyantuni usahawan-usahawan asnaf MAIWP yang mengambil bahagian dalam festival berprestij itu.
Penyertaan mereka menerima sambutan menggalakkan daripada para pengunjung yang tertarik dengan pelbagai produk dan kisah inspirasi di sebalik usaha gigih para usahawan asnaf. Dari pameran ini, peluang baharu terbuka luas bagi membawa jenama asnaf MAIWP menembusi pasaran yang lebih besar.
Penganjuran MIHF’25 bukan sekadar festival, tetapi menjadi platform penting yang membuktikan keupayaan dan potensi sebenar usahawan asnaf Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa.




