HANIFUDDIN ROSLAN DILANTIK PENGARAH BAHARU JAWI BERKUAT KUASA HARI INI

Oleh Latifah Arifin - Januari 2, 2025 @ 2:20pm

latifah@bh.com.my

 

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Hanifuddin Roslan dilantik sebagai pengarah baharu jabatan berkenaan, berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Mohd Ajib Ismail yang dilantik memegang jawatan itu mulai 20 April 2018 sehingga 29 Oktober lalu.

Ajib kini diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkuatkuasa 30 Oktober lalu.

JAWI dalam hantaran di Facebook menzahirkan ucapan tahniah di atas pelantikan Hanifuddin yang sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah (Operasi) JAWI sejak 24 Ogos 2020.

"Seluruh warga JAWI merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Hanifuddin Roslan atas pelantikan sebagai Pengarah JAWI berkuat kuasa 2 Januari 2025.

"Ahlan Wasahlan (selamat datang) dan semoga dengan kedatangan pengarah baharu di tahun baharu 2025, JAWI akan terus komited dan cemerlang dalam pengurusan hal ehwal Islam terutamanya di Wilayah-wilayah Persekutuan, insya-Allah," kata kenyataan itu.

 

Pautan: https://www.bharian.com.my


TOP