Semua masjid bawah JAKIM, JAWI diminta lakukan
solat jenazah ghaib ke atas Ismail Haniyeh
Oleh Samadi Ahmad - Julai 31, 2024 @ 4:18pm
bhnews@bh.com.my
PUTRAJAYA: Semua masjid bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diminta melakukan
solat jenazah ghaib ke atas pemimpin Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh yang
terbunuh dalam serangan di Iran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im
Mokhtar, berkata perincian mengenai perkara itu akan dibuat oleh JAKIM dan
JAWI.
"Saya sudah meminta kerjasama masjid bawah
seliaan JAKIM, iaitu Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan
Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya untuk melaksanakan solat jenazah
ghaib ke atas Almarhum Ismail Haniyeh.
"Pada masa sama, masjid dan surau bawah
pentadbiran JAWI juga diminta melaksanakan perkara sama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kumpulan Hamas dalam satu kenyataan memaklumkan
bahawa Allahyarham terbunuh dalam serangan di Tehran, Iran, hari ini.
Katanya, kumpulan pejuang Islam itu berkabung atas kematian pemimpin
terbabit yang dikatakan terbunuh dalam 'serangan khianat Zionis ke atas
kediamannya di Tehran'.
Haniyeh dilaporkan berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah
Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Na'im berkata, beliau mewakili seluruh Jabatan
Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menzahirkan perasaan amat dukacita atas
kematian Haniyeh.
"Sesungguhnya Almarhum adalah seorang
pemimpin rakyat Palestin yang memberikan sumbangan bakti dan jasa kepada
tindakan serta usaha mempertahankan tanah Palestin dan juga hak-hak rakyat
Palestin yang ditindas selama ini. Semoga segala baktinya dicatat sebagai
amalan soleh di sisi Allah SWT," katanya.
Sumber Berita Harian/semua masjid bawah JAKIM- JAWI diminta lakukan solat jenazah ghaib ke




