Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Yang di Pertuan Agong berkenan mengagihkan Sumbangan Sembah Kurnia berupa
25,000 kampit beras (10 kg) kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf di Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur sepanjang bulan Ramadan 1445H.
Majlis ringkas yang telah disempurnakan oleh Datuk
Azuan Effendy Zairakithnaini, Datuk Paduka Maharajalela Istana Negara telah
diadakan di
Masjid Saidina Hamzah, Batu Muda, Kuala Lumpur.
Beliau telah menyampaikan sumbangan beras (10kg)
kepada 38 orang asnaf sebagai satu simbolik pengagihan beras kepada asnaf di
seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sepanjang Ramadhan tahun ini.
Pihak Istana Negara dengan kerjasama MAIWP dan JAWI
telah menetapkan 10 buah masjid terpilih di sekitar WP Kuala Lumpur bagi urusan
pusat pengagihan beras kepada asnaf di sekitar kariah. Setiap masjid akan
menerima stok beras sebanyak 2,500 kampit.
Agihan beras kepada asnaf akan diagihkan pada
setiap Isnin-Jumaat di sepanjang bulan Ramadan ini bermula jam 8.00 pagi hingga
2.00 petang.
Pihak Istana Negara turut menyampaikan ucapan
ribuan terima kasih kepada MAIWP, JAWI, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan
semua pihak yang terlibat dalam pengagihan sumbangan sembah kurnia ini.
MAIWP menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Sultan Ibrahim, Yang Di-Pertuan Agong atas Sumbangan Sembah Kurnia ini.



