Hari
Integriti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang bertemakan
“Amalkan Integriti, Tingkatkan Profesionalisme” dibuka secara rasmi oleh
Pengerusi MAIWP, Tuan Haji Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, di sini.
Ketika
merasmikan majlis, beliau berkongsi pengalamannya dalam menangani isu integriti
dan profesionalisme di MAIWP serta menegaskan pentingnya nilai-nilai tersebut
dalam setiap tindakan pegawai dan warganya.
Satu
insiden yang mencuri perhatian adalah pengisahan mengenai pemecatan seorang
arkitek yang terlibat dalam amalan rasuah dan penurunan pangkat seorang pegawai
yang turut terlibat secara tidak langsung kerana percaya kepada pegawai bawahan
beliau, akhirnya kekal sehingga bersara.
Tuan
Haji Syed Kamarulzaman menyatakan bahawa kejadian ini dijadikan pengajaran
untuk seluruh warga MAIWP agar tidak terjebak dalam perbuatan yang merosakkan
integriti, sekali gus mengingatkan pegawai agar tidak menjadikan diri mereka
sebagai mangsa.
Pengerusi
yang memulakan tugas sebagai Pengerusi MAIWP pada 16 Februari 2024, langkah pertama
beliau dengan menjalankan kajian mendalam tentang operasi di MAIWP.
Setelah
itu, beliau mengadakan pertemuan dengan warga MAIWP, diikuti oleh lawatan ke
bahagian-bahagian, anak syarikat, NGO, dan vendor untuk memahami dengan lebih
dekat operasi yang dijalankan oleh setiap unit.
Salah
satu perkara yang menjadi perhatian beliau adalah amalan pemberian hamper
selepas setiap majlis.
Beliau
dengan tegas mengumumkan bahawa mulai kini, MAIWP tidak akan lagi mengamalkan
pemberian hamper atau cenderahati kerana ia boleh menimbulkan persepsi yang
tidak baik.
"MAIWP sebagai organisasi Islam harus menjaga prinsip keislaman dalam setiap tindak tanduk.
"Jangan terjebak dalam amalan yang boleh membawa kepada keraguan atau
subahat," tegasnya.
Syed
Kamarulzaman juga menekankan pentingnya menjaga kehalalan dalam setiap
perbuatan agar tidak terjebak dalam perkara yang haram.
"Buatlah
sesuatu yang halal kerana pahala. Jauhi subahat kerana membawa kepada
kemudaratan," tambah
beliau.
Pengerusi
MAIWP turut membawa beberapa contoh tokoh-tokoh berintegriti sebagai panduan,
antaranya kisah Umar Abdul Aziz, yang terkenal kerana mengutamakan kepentingan rakyat melebihi keperluan diri dan keluarga.
Dalam
tempoh dua setengah tahun pemerintahan beliau, Umar Abdul Aziz menyerahkan
segala harta dan emas beliau kepada Baitulmal, memastikan keluarganya ada
integriti.
Beliau turut memetik kisah
Presiden India ke-11, APJ Abdul Kalam, yang terkenal dengan integritinya.
Ketika keluarganya, melawatnya
semasa beliau berkhidmat sebagai Presiden, meminta kerajaan India bahawa akan membayar balik segala bil-bil perbelanjaan mereka ketika diraikan oleh kerajaan.
Beliau juga tidak menerima
hadiah-hadiah peribadi, sebaliknya menyerahkan hadiah tersebut kepada muzium dan dikatalogkan.
Beliau mengambil contoh
kepimpinan tempatan, dengan memuji integriti Perdana Menteri Malaysia, Datuk
Seri Anwar Ibrahim, yang memilih untuk tidak mengambil gaji bulanan sebagai
Perdana Menteri, sebaliknya hanya menerima elaun.
Beliau
turut menekankan bahawa kerajaan MADANI sentiasa memberi perhatian terhadap
tatakelola yang baik dan bertanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan
rakyat.
Pengerusi
juga mengingatkan bahawa kehidupan yang sederhana dan tidak berlebihan adalah
satu amalan yang wajar dijadikan panduan.
"Orang
mungkin menyukai kita kerana kuasa yang kita miliki, tetapi apabila kuasa itu
hilang, kita harus tetap hidup seperti biasa," katanya lagi.
Hari
Integriti MAIWP kali ini menekankan bahawa integriti bukan sahaja mencerminkan
peribadi seseorang, tetapi juga merupakan teras utama dalam setiap tindakan dan
keputusan yang diambil, terutamanya dalam organisasi yang mengutamakan prinsip
Islam seperti MAIWP.
Pegawai
dan warga MAIWP diingatkan agar sentiasa mengamalkan nilai integriti dalam
segala aspek kehidupan profesional mereka, demi menjaga kredibiliti dan
kehormatan institusi tersebut.



