Alor Gajah, Melaka, 26 September 2025 – Seramai 498 pelajar Tingkatan 5 dari seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menyertai Program Kecemerlangan SPM 2025 anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), yang berlangsung selama tiga hari di Kem Permata Resort, Alor Gajah.
Program ini bertujuan membantu pelajar asnaf mencapai keputusan cemerlang dalam SPM dengan penekanan kepada enam modul utama melibatkan teknik menjawab soalan bagi subjek teras iaitu Bahasa Melayu Kertas 1 & 2, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam dan Sejarah.
Selain aspek akademik, pengisian turut menekankan pembangunan kerohanian melalui ceramah motivasi dan aktiviti rohani yang memupuk nilai usaha gigih, tawakkal dan kekuatan doa, agar pelajar tidak mudah berputus asa.
Tuan Megat Affandi bin Darul Wira Haji Ismail, Pengarah Pendidikan JPWPKL, hadir memberikan suntikan semangat kepada pelajar dengan menekankan bahawa kejayaan lahir daripada usaha, disiplin dan doa yang berterusan.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Encik Ahmad Saifuddin bin Haji Md Tahir, Pengurus Bahagian Pembangunan Asnaf MAIWP, yang menyampaikan pesanan bermakna kepada para peserta, "Gunakan masa sebulan terakhir ini sebaik mungkin. Teruskan berusaha kerana selagi ada masa, kejayaan masih boleh dikejar."
Turut hadir, Tuan Haji Mohamed Nor bin Haji Salleh, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Islam JPWPKL.
Program ini diharap menjadi pemangkin kejayaan pelajar asnaf dalam SPM serta membina jati diri dan keyakinan mereka untuk terus cemerlang dalam akademik dan kehidupan.






