KUALA LUMPUR – Majlis Graduasi Darul Ilmi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Kali Ke-5 telah berjaya diadakan bagi meraikan serta memberikan pengiktirafan kepada seramai 16 orang graduan Darul Ilmi yang telah menamatkan sesi pembelajaran mereka dengan penuh komitmen, kesungguhan dan ketabahan.
Majlis graduasi ini menjadi simbol kejayaan golongan warga emas yang membuktikan bahawa usaha menuntut ilmu mampu diteruskan tanpa mengira faktor usia. Ia selari dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat yang menekankan kepentingan ilmu sebagai asas pembentukan diri, peningkatan kualiti hidup serta kesejahteraan rohani dan jasmani.
Majlis berprestij ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, dan turut diiringi oleh YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, serta En. Ahmad Talmizi bin Yahaya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP. Majlis ini turut dihadiri oleh para tetamu jemputan, warga MAIWP serta ahli keluarga graduan yang hadir memberikan sokongan dan penghargaan atas kejayaan yang dicapai.
Penganjuran Majlis Graduasi Darul Ilmi MAIWP Kali Ke-5 ini mencerminkan komitmen berterusan MAIWP dalam menyediakan sistem pendidikan yang berkualiti, inklusif dan berteraskan nilai keilmuan Islam. Inisiatif ini bukan sahaja memberi ruang kepada golongan warga emas untuk terus menimba ilmu, malah turut meningkatkan persepsi positif masyarakat terhadap peranan MAIWP dalam pembangunan insan, pemerkasaan pendidikan serta usaha menyumbang kepada kesejahteraan ummah secara menyeluruh.





