KUALA LUMPUR, 20 September 2025 – Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-21 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) menyaksikan penglibatan aktif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui penyertaan MAIWP Pavilion yang menjadi antara tarikan utama pameran.
Pavilion tersebut menampilkan pelbagai produk usahawan asnaf yang semakin mendapat tempat di pasaran, di samping mengetengahkan peluang pendidikan menerusi Universiti MAIWP (UniMAIWP) dan Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP). Kehadiran pavilion ini membawa mesej jelas bahawa tiada yang mustahil untuk dicapai apabila diberikan peluang dan sokongan.
Lebih istimewa, pengunjung turut berpeluang mengenali produk kesihatan keluaran Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI), syarikat milik penuh MAIWP, yang menampilkan rangkaian ubat-ubatan halal berkualiti tinggi hasil penyelidikan pakar tempatan.
MAIWP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengunjung yang singgah ke Pavilion MAIWP sepanjang pameran ini. Jumpa lagi di MIHAS akan datang.





