KUALA LUMPUR – Final Projek Bangkit 2025 berlangsung meriah semalam dengan kehadiran pimpinan tertinggi MAIWP dan TV AlHijrah. Turut hadir ialah Pengerusi MAIWP, YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi TV AlHijrah, YBhg. Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, YBhg. Datuk Mohd Nizam Haji Yahya, serta Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, YBhg. Tuan Haji Namanzee Harris, yang bersama-sama menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Acara akhir yang menampilkan lima finalis Usahawan Asnaf MAIWP itu dihoskan oleh Amin Idris, manakala pelakon dan usahawan terkenal, Dato’ Rosyam Nor, mengetuai barisan juri. Turut serta sebagai juri jemputan ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP, Ustaz Ahmad Talmizi Yahaya, dan pendakwah Ustaz Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan.
Nurul Asyiqin Mohamad Ramli diumumkan sebagai Juara Projek Bangkit 2025 menerusi persembahan biskut jenama Cocokins yang menonjolkan kreativiti, ketekunan dan visi keusahawanannya. Beliau membawa pulang geran RM50,000 tajaan MAIWP serta slot pengiklanan bernilai RM1 juta di TV AlHijrah.
Tempat Naib Juara dimenangi oleh Juliana Samsudin melalui perniagaan murtabak dengan hadiah RM20,000. Tempat Ketiga disandang Norsyahliza Syafrial, pengusaha Jijah Satay, yang menerima RM15,000.
Sementara itu, Ahmad Imran Mazlan (Reka Cantum) dan Muhamad Haziq Haime (Produk Rambut Lelaki) masing-masing meraih Tempat Keempat dan Kelima, membawa pulang RM7,000 setiap seorang. Semua hadiah disumbangkan sepenuhnya oleh MAIWP.
Projek Bangkit, hasil kerjasama antara MAIWP dan TV AlHijrah, telah bersiaran selama lapan minggu sejak Oktober lalu, melibatkan 21 peserta pada peringkat awal sebelum lima finalis dipilih ke peringkat akhir.
Tahniah kepada semua pemenang dan semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada perkembangan lebih besar dalam perjalanan keusahawanan mereka.





