MAIWP pada hari ini telah menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar dan Penyampaian Insentif Galakan Hafazan di Dewan Utama Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Majlis ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada pelajar cemerlang dan golongan huffaz di Wilayah Persekutuan sekaligus menjadi medum sebagai tanda penghargaan kepada pelajar yang berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023.
Majlis ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang turut menyampaikan anugerah dan insentif kepada para penerima.
Hadir mengiringi Menteri Agama, YBhg. Tuan Haji Syed Kamarulzaman Bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP dan Datuk Mohd Nizam Bin Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP.
Pada tahun ini, sebanyak RM3,137,440.00 diperuntukkan kepada 698 pelajar cemerlang yang merupakan penerima Bantuan Am Persekolahan dan pelajar dari institusi pendidikan MAIWP.
Pelajar-pelajar ini turut menerima komputer riba serta insentif tunai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i). Di samping itu, seramai 529 peserta hafazan menerima insentif dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,937,750.00 mengikut kategori hafazan dari juzuk 1 sehinggalah juzuk 30.
MAIWP terus komited terutamanya dalam pembangunan pendidikan di mana sehingga Ogos 2024, MAIWP telah mengagihkan RM68.5 juta melalui pelbagai skim pendidikan yang memberi manfaat kepada 80,059 pelajar.
Sehingga September 2024, MAIWP telah mengagihkan lebih RM735 Juta dana zakat kepada asnaf yang memerlukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.




















