MAJLIS PENUTUPAN KURSUS MODUL PENGUKUHAN GOVERNANS, INTEGRITI DAN ANTIRASUAH MPGIA
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus komited memperkukuh budaya governans dan integriti dalam perkhidmatan awam melalui penganjuran Kursus Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) yang melibatkan penyertaan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Majlis penutupan kursus yang berlangsung di Bilik Seminar, Aras 10, Menara MAIWP telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, yang turut menyampaikan amanat penuh makna kepada para peserta.

“Dalam konteks perkhidmatan awam masa kini, kita tidak lagi boleh beroperasi seperti dahulu. Masyarakat semakin celik dan menuntut ketelusan, akauntabiliti dan kebertanggungjawaban daripada setiap agensi kerajaan termasuk MAIWP,” tegas beliau.

Datuk Mohd Nizam turut menekankan bahawa MAIWP memikul amanah besar umat Islam yang perlu diurus dengan penuh ketelusan dan integriti, khususnya dalam aspek agihan kepada golongan asnaf agar bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan.
TOP