Majlis Agama
Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah memperuntukkan sebanyak RM12 juta untuk
membantu mangsa banjir di seluruh negara, khususnya di kawasan yang terjejas
teruk seperti di Pantai Timur, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Peruntukan ini
juga melibatkan bantuan untuk negeri-negeri yang turut terkesan, termasuk Johor
dan Pahang.
Majlis Pelepasan
Misi Bantuan Banjir Skuad Musa’adah Al-Falah MADANI, oleh YB Senator Dato’
Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama), diadakan sini pagi tadi.
Dalam majlis tersebut, YB Menteri menyempurnakan penyampaian
bendera Skuad Musa’adah Al-Falah MADANI.
Majlis ini melambangkan semangat solidariti dan
tanggungjawab bersama dalam membantu mangsa banjir yang memerlukan.
Senator Dr. Mohd Na’im dalam kenyataannya memaklumkan bahawa RM12
juta telah diperuntukkan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara, dengan
penekanan khusus kepada negeri-negeri di Pantai Timur.
Sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan pada hari Sabtu lepas,
sementara tambahan RM7 juta diumumkan pada Isnin, ketika beliau menghadiri
Majlis Pelancaran Program Bijak Bestari Kampung Bharu oleh Lembaga Tabung Haji
(TH).
"Fokus adalah kepada negeri-negeri terlibat banjir, khususnya di Pantai Timur seperti di Kelantan dan Terengganu malah di Kedah juga.
"Johor dan Pahang juga sudah mula banjir,” ujar beliau yang dipetik dari laporan Sinar Harian.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Datuk Mohd Nizam
bin Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, bersama ketua-ketua
agensi di bawah YB Menteri JPM HEA.
Misi bantuan ini turut melibatkan penghantaran sukarelawan
yang diketuai oleh Ustaz Ahmad Talmizi bin Yahaya, Pengurus Bahagian Agihan
Zakat MAIWP, yang akan menyertai Skuad Musa’adah Al-Falah MADANI dalam usaha
bantuan kali ini.
Pada Ahad lepas, Dr. Mohd Na’im turut terlibat dalam
Karnival Soul Journey Belia Asnaf Sempena 50 Tahun MAIWP, yang diadakan bersama
Mahasiswa Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur.
Selain itu, beliau juga meluangkan masa pada pagi tersebut untuk menziarahi beberapa buah rumah penduduk di PPR Perkasa dan meninjau aktiviti Surau Babul Khairat di kawasan tersebut.
Setelah salat Zohor, beliau dengan rombongan menziarahi saudara Muhammad Yunus Abdul Rashid, yang lebih dikenali sebagai
Ebby Yus di rumah beliau di Kampung Bharu.
Dengan adanya bantuan besar ini, diharap usaha murni yang
dijalankan oleh MAIWP dan Skuad Musa’adah Al-Falah MADANI dapat meringankan
beban mangsa banjir dan memberi manfaat yang besar kepada mereka yang terkesan.





