Kuala Lumpur, 17 September – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan penuh penghargaan telah menerima kunjungan hormat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Delegasi MAIK diketuai oleh YBhg. Dato’ Haji Mohd Anis bin Hussein, Timbalan Yang Dipertua MAIK.
Ketibaan delegasi tersebut telah disambut mesra oleh YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, bersama-sama YBhg. Datuk Haji Abdul Hakim Amir bin Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-MAIWP, serta barisan pengurusan tertinggi MAIWP.
Pertemuan ini menjadi platform penting bagi kedua-dua institusi agama untuk memperkukuhkan hubungan silaturahim dan memperluas jaringan kerjasama strategik. Antara intipati perbincangan adalah pertukaran pandangan serta perkongsian pengalaman dalam pelbagai aspek pentadbiran, khususnya berkaitan dengan pengurusan zakat dan hal ehwal Islam.
MAIWP dan MAIK komited untuk terus meneroka peluang kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat Islam, selaras dengan misi memperkasa pembangunan ummah serta meningkatkan keberkesanan institusi agama dalam melaksanakan tanggungjawab sosial.
Melalui jalinan strategik ini, kedua-dua pihak yakin bahawa ia akan menjadi landasan kukuh dalam mengangkat martabat umat Islam dan memperkukuh peranan institusi agama di Malaysia.






