ZIARAH ILMU MUIP KE MENARA MAIWP

MAIWP telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Jengka yang diketuai oleh Tuan Nik Ahmad Tarmizi bin Nik Lam, Pengurus Cawangan MUIP Jengka. Kunjungan ini bertujuan untuk menjalinkan hubungan strategik serta berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan zakat antara kedua-dua institusi.

Delegasi MUIP telah diberi taklimat dan pendedahan menyeluruh berkaitan mekanisme agihan zakat oleh Puan Wan Maizatun binti Wan Hassan, Timbalan Pengurus, Bahagian Agihan Zakat MAIWP. Perkongsian ini merangkumi dasar agihan, kaedah penyampaian bantuan, serta pendekatan MAIWP dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan asnaf yang layak secara menyeluruh dan berkesan.

Sesi turut diserikan dengan perbincangan dua hala yang interaktif, di mana pelbagai persoalan dikemukakan dan ditangani dengan penuh profesionalisme serta keterbukaan. Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan dan cadangan untuk mempertingkatkan lagi keberkesanan perkhidmatan zakat di peringkat negeri dan persekutuan.

Semoga kunjungan ini menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih erat antara MAIWP dan MUIP, seterusnya memperkukuh lagi usaha ke arah pembangunan ummah melalui pengurusan zakat yang cekap, telus dan berkesan.

TOP