KUNJUNGAN HORMAT KITAB KE MAIWP

KUALA LUMPUR, 3 September – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang di Menara MAIWP, Kuala Lumpur.

Kunjungan tersebut diketuai oleh YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, yang disertai oleh barisan pengurusan kanan KITAB. Pertemuan dua hala ini bertujuan memperkenalkan KITAB sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi Islam yang menawarkan pelbagai program akademik merangkumi bidang tahfiz, syariah, halal, kewangan Islam dan lain-lain bidang pengajian yang relevan dengan keperluan semasa.

Selain sesi pengenalan, pertemuan turut memberi ruang untuk membincangkan potensi kerjasama strategik antara MAIWP dan KITAB, khususnya dalam aspek membantu pelajar asnaf dari Wilayah Persekutuan yang melanjutkan pengajian di institusi tersebut. MAIWP komited untuk memastikan golongan asnaf mendapat akses pendidikan berkualiti tinggi dengan sokongan berbentuk bantuan sewajarnya agar mereka mampu meningkatkan taraf hidup melalui ilmu pengetahuan.

Menurut YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman, kerjasama ini amat penting bagi memperkukuh ekosistem pendidikan Islam di Malaysia, selain membuka peluang lebih luas kepada pelajar asnaf untuk menimba ilmu dalam bidang-bidang strategik.

“MAIWP sentiasa menyokong inisiatif pendidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat, terutamanya golongan asnaf. Kita berharap jalinan kerjasama dengan KITAB ini akan membuahkan hasil yang positif dan melahirkan lebih ramai generasi berilmu serta berakhlak mulia,” katanya.

Sementara itu, pihak KITAB turut menzahirkan penghargaan kepada MAIWP atas kesediaan membincangkan ruang kolaborasi bersama. KITAB optimis bahawa kerjasama dengan agensi agama utama di Wilayah Persekutuan ini akan memberi impak besar terhadap pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan pelajar yang memerlukan.

Kunjungan ini diharap menjadi titik tolak kepada hubungan yang lebih erat antara kedua-dua pihak, sekali gus menyumbang kepada usaha melahirkan generasi ilmuan Islam yang berkualiti, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan ummah.

TOP