286 PELAJAR SERTAI KEM KEROHANIAN MAIWP 2025

Seramai 286 pelajar Tingkatan 3 dan 4 daripada 68 buah sekolah sekitar Kuala Lumpur telah menyertai Program Kerohanian Sekolah Menengah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025 yang berlangsung selama tiga hari, bermula 24 hingga 26 Ogos di White Resort Camp, Balik Pulau, Pulau Pinang.

Program ini dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Asnaf (BPA) MAIWP dengan kerjasama Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL). Penganjuran ini bertujuan melahirkan pelajar yang seimbang dari aspek rohani, sahsiah dan kepimpinan melalui pengisian berteraskan kerohanian, motivasi, serta aktiviti berpasukan yang menyeronokkan.

Dalam ucapan perasmian, Encik Ahmad Saifuddin Hj Md Tahir, Pengurus BPA MAIWP menegaskan, pendidikan kerohanian dan pembentukan sahsiah tidak boleh dilengahkan. Generasi muda hari ini perlu diperkasa dengan ilmu, akhlak dan ibadah agar mereka mampu menjadi pewaris bangsa yang soleh, berdisiplin dan berdaya saing menghadapi cabaran masa depan.

Sepanjang program, para peserta didedahkan dengan modul seperti Mengenal Diri, Teori dan Amali Solat, Asas Akidah, Pergaulan Muslim, serta Pemantapan Bacaan Solat. Turut diadakan aktiviti luar yang interaktif dan mencabar seperti Night Walk, Rempuh Halangan dan Explorace Ibadah.

Bagi menjayakan penganjuran ini, MAIWP telah memperuntukkan lebih RM170,000 sebagai pelaburan berterusan dalam membangunkan generasi muda yang berakhlak mulia, celik agama dan berdaya kepimpinan.

Objektif utama kem ini adalah untuk meningkatkan kefahaman pelajar terhadap amalan ibadah secara praktikal, membina keyakinan diri, memupuk semangat kepimpinan berlandaskan nilai Islam, serta menggalakkan kerjasama dan kesatuan dalam kalangan peserta.

MAIWP optimis bahawa program ini akan menjadi wadah penting dalam usaha melahirkan generasi muda yang berilmu, berakhlak tinggi dan mampu menyumbang secara positif kepada masyarakat.

TOP