SEMINAR TRANSFORMASI MINDA BIJAKTANI ASNAF MAIWP 2025

Kuala Lumpur, 7 September 2025 – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus memperkukuh usaha memperkasakan golongan asnaf melalui Seminar Transformasi Minda Bijaktani Asnaf MAIWP 2025, yang berlangsung dengan penyertaan seramai 200 orang penerima Bantuan Kewangan Bulanan MAIWP.

Seminar ini bertujuan membuka ruang dan peluang kepada asnaf untuk mengubah cara berfikir agar lebih progresif dalam meningkatkan taraf hidup keluarga. Peserta digalakkan untuk tidak hanya bergantung kepada bantuan bulanan semata-mata, sebaliknya berusaha menjana pendapatan sampingan menerusi pelbagai program agrotani anjuran MAIWP, khususnya di bawah Unit Pengurusan Agro, Bahagian Pembangunan Asnaf (BPA).

Sepanjang seminar, para peserta mendapat pendedahan daripada agensi berkaitan termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM), Pejabat Perikanan Kuala Lumpur/Putrajaya dan FAMA, yang berkongsi ilmu serta peluang dalam bidang pertanian dan perikanan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ustaz Ahmad Saifuddin bin Hj. Md. Tahir, Pengurus Bahagian Pembangunan Asnaf MAIWP. Turut hadir, Kamarunnizam Shahimi, Ketua Unit Pengurusan Agro BPA MAIWP, yang menegaskan bahawa seminar ini bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi menyuntik semangat dan motivasi kepada asnaf untuk berani melakukan perubahan.

Dengan ilmu, maklumat dan inspirasi yang diperoleh, para peserta diharap dapat memanfaatkannya sepenuhnya untuk membina kehidupan yang lebih sejahtera, sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan.

TOP