Majlis Graduasi dan Apresiasi Latihan dan Kerjaya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kali ke-3, berjalan dengan jayanya di sini.
Ketika merasmikan majlis, Pengerusi MAIWP, Tuan Haji Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berpesan kepada graduasi supaya jangan lupa memberitahu pada dunia bahawa manfaat mereka menerima zakat dan MAIWP telah melaksanakan tanggungjawabnya.
Berikut adalah teks ucapan perasmian yang disampaikan oleh beliau:
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh & Salam Malaysia Madani.
Alhamdulillahi
rabbil 'alamin.
Wassalatu wassalamu ala asrofil al-mursalin waala alihi washahbihi ajmain.
Segala puji pujian teruntuklah bagi-Nya subhanahu wa taala.
Salam dan selawat teruntuk pula bagi junjungan besar Baginda Rasulullah, para sahabat dan keluargannya.
Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, Majlis Graduasi dan Apresiasi Latihan Dan Kerjaya MAIWP Kali Ke-3 dapat diadakan pada hari ini.
Tahniah kepada Bahagian Pembangunan Asnaf MAIWP yang sentiasa menyusun gerak kerja dan program berterusan sepanjang tahun dalam menyantuni asnaf di Wilayah Persekutuan khususnya kepada asnaf/penerima bantuan zakat MAIWP pada kali ini.
Saya difahamkan, majlis seumpama ini telah dilaksanakan bermula tahun 2022 dan ini adalah kali ke-3 MAIWP meraikan para graduan asnaf yang telah berjaya menamatkan latihan dalam pelbagai bidang.
Berdasarkan rekod, seramai 309 peserta telah berjaya mengikuti latihan daripada 12 agensi dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM4,434,384.00.
Terima kasih juga diucapkan kepada agensi terlibat; yang turut serta pada hari ini.
Saya difahamkan 12 agensi tersebut adalah:
i. Tan Chong Education
ii. Meatech Transmedia Sdn Bhd
iii. Auto Prima College
iv. Kagumas Cullinary Academy (M) Sdn Bhd
v. Aquanext Marine Sdn Bhd
vi. Binaskil Academy Plt (Perkongsian Liabiliti Terhad)
vii.
Excellscape
Consulting Plt (Limited Liability Partnership)
viii. Akademi Binaan Malaysia (Utara) Sdn Bhd
ix. Selangor Technical Skills Development Centre (STDC)
x. Pertubuhan Amal Pembangunan Usahawan Oku Penglihatan
Malaysia (Perkum)
xi. Aimi Akademi
xii. Norz Beauty House Sdn Bhd
Sokongan dan perkhidmatan yang tuan/puan berikan sangat membantu pelajar asnaf MAIWP untuk terus maju seterusnya memacu kejayaan dalam bidang yang mereka ceburi.
Usaha ini
dilihat sebagai salah satu langkah untuk mengerak dan mengupayakan para pelajar
asnaf agar tidak lagi bergantung penuh kepada bantuan zakat dengan mencipta
peluang pekerjaan kepada mereka.
Selain itu,
meletakkan satu tanggungjawab kepada para belia untuk membantu keluarga
masing-masing seterusnya menjadi pembayar zakat kepada MAIWP.
Bantu ibu bapa supaya kehadapan mereka dapat dinaik taraf.
Sidang hadirin yang dirahmati Allah
Agensi
mengurus zakat adalah satu institusi amat penting buat ummah dalam misi membasmi kemiskinan.
Fungsi institusi ini tidak boleh dilihat dengan satu
tugasan rutin sahaja; iaitu membantu orang yang kurang berkemampuan.
Sebaliknya MAIWP sedang menjalankan satu misi besar; iaitu menjadi agenda badan dunia seperti United Nation dalam pengurusan kemiskinan.
Justeru itu, adalah sangat indah dan bermakna MAIWP dapat
menonjolkan bahawa Islam itu bukan hanya membantu orang miskin di kalangan umat
Islam semata-mata.
Bahkan mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.
Dengan cara ini, dunia akan dapat melihat betapa cantik
dan indahnya Islam dalam membantu meningkatkan sosio ekonomi negara secara
seluruhnya.
Inilah semangat Malaysia Madani yang kita hendak tonjolkan, keindahan Islam merentasi sempadan.
Sidang hadirin yang dirahmati Allah
MAIWP sentiasa berusaha gigih dalam memperkasakan penerima zakat agar menjadi pembayar zakat menerusi pelbagai inisiatif program, latihan dan bimbingan.
Justeru itu, Bahagian Pembangunan Asnaf MAIWP pada tahun 2024, telah berjaya membimbing pelatih asnaf melalui “Program Pengajian Dan Kerjaya” yang melibatkan seramai 309 peserta penerima bantuan zakat di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Inilah maqasid
zakat disyariatkan.
Islam tidak mahu melihat umatnya hanya menunggu, mengharapkan bantuan tetapi sebaliknya penerima bantuan itu sendiri harus berusaha dan bertekad untuk meningkatkan taraf hidup, keluar daripada kepompong kemiskinan dan berazam untuk menjadi pembayar zakat pula.
Sejak pelaksanaan program pembangunan asnaf pada tahun 2022, MAIWP telah berjaya melatih dan membimbing asnaf menerusi pelbagai inisiatif yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM9.37 juta dengan penglibatan asnaf seramai 6,837 orang peserta.
Saya difahamkan pada tahun ini sahaja, sehingga Disember
2024, MAIWP telah mengagihkan sebanyak RM1.006 bilion dana zakat menerusi
pelbagai skim bantuan dan program yang telah dilaksanakan sepanjang tahun.
Tahniah saya ucapkan kepada pengurusan dan warga MAIWP.
Sidang hadirin yang dirahmati Allah
Majlis Graduasi Dan Apresiasi Latihan Kemahiran MAIWP Kali Ke-3 yang diadakan pada hari ini, sebagai cara MAIWP meraikan para graduan yang telah mengikuti latihan dengan jayanya dan mendapat pekerjaan dengan pendapatan bulanan minimum berjumlah RM1,800.00.
Besar
harapan MAIWP, agar para graduan terus menanam keazaman dan usaha yang
bersungguh-sungguh, bukan yang biasa-biasa tetapi mampu menjadi luar biasa
serta menjana pendapatan yang lebih tinggi dengan kemahiran yang dimiliki.
Saya difahamkan
graduan dahulu telah membuka syarikat dan menjadi majikan, mengajikan pekerja.
Tapi jangan
lupa bayar zakat.
Beritahu pada dunia bahawa anda telah membuat pembayaran zakat dan MAIWP telah melaksanakan tanggungjawabnya.
Saya juga menyeru kepada
semua, agar dapat menzahirkan penghargaan kepada para pembayar zakat.
MAIWP hanya pengantara
dalam pengagihan zakat yang dibayar.
Lontarkan penghargaan tuan/puan;
khususnya di media sosial.
Saya pasti akan didengari oleh para pembayar zakat dan seterusnya menyuntik dorongan mereka untuk terus berzakat.
Saya kira sehingga itu sahaja
ucapan saya pada kali ini.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Majlis Graduasi Dan Apresiasi Latihan dan Kerjaya MAIWP Kali Ke-3 pada hari ini.
Wabillahi taufiq
wal hidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.






