Kuala Lumpur, 2 Oktober 2025 – Satu kunjungan hormat telah diadakan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) ke atas Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membincangkan usaha mempererat hubungan strategik antara kedua-dua agensi.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Datuk Dr. Hasan bin Bahrom, Yang Dipertua YADIM, bersama Encik Zamri bin Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM. Turut hadir ialah YBhg. Profesor Dr. Zuriati binti Ahmad Zukarnain, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, serta beberapa orang pegawai kanan dan kakitangan YADIM yang lain.
Delegasi YADIM telah disambut oleh Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, bersama Encik Ahmad Talmizi bin Yahaya, Pengurus Bahagian Agihan Zakat MAIWP, dan Puan Nor Azlina binti Mohamad Salleh, Pengurus Bahagian Teknologi Maklumat MAIWP, serta barisan pegawai MAIWP.
Pertemuan ini memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan serta membincangkan potensi kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, khususnya yang berkaitan dengan dakwah, kebajikan, dan pembangunan ummah.
Kedua-dua agensi menyatakan komitmen untuk memperkukuhkan hubungan serta meneroka peluang kolaborasi yang lebih meluas demi manfaat masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan dan seluruh negara.







