Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggesa mana-mana pihak agar menghormati usaha yang diambil oleh Kerajaan untuk menggubal Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 (RUU Mufti) bertujuan bagi memartabatkan dan memperkasakan institusi mufti di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Tindakan mana-mana pihak yang menyarankan penggantian Yang Berhormat Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar sebagai Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah sebagai Mufti Wilayah Persekutuan, susulan isu penggubalan RUU Mufti dianggap sebagai suatu saranan yang tidak sepatutnya dibangkitkan.
Yang Berhormat Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai Senator berdasarkan Fasal (1) Perkara 45, Perlembagaan Persekutuan manakala pelantikan sebagai Menteri adalah berdasarkan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
Mufti Wilayah Persekutuan dilantik oleh YDPA berdasarkan Seksyen 32 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505].
Kedua-dua tokoh kepimpinan ini telah dilantik oleh YDPA berdasarkan pengetahuan dan pengalaman luas dalam hal ehwal pentadbiran agama Islam menurut undang-undang dan perlembagaan.
Sewajarnya mana-mana pihak perlu menghentikan sebarang tindakan menghasut atau menanam kebencian di kalangan masyarakat Islam dengan segera, khususnya kedudukan Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Mufti Wilayah Persekutuan kerana ia akan menghalang usaha murni Kerajaan bagi mengukuhkan pentadbiran Islam di negara ini.
Perbezaan pandangan perlu ditangani dengan sifat toleransi (tasamuh) dan beradab yang menjadi teras utama dalam membangunkan sebuah masyarakat MADANI.
Sekian, terima kasih.
SYED KAMARULZAMAN BIN SYED KABEER
Pengerusi
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan


